BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mac – Peruntukan tahun kewangan 2017/2018 bagi Kementerian Kesihatan telah disokong sebanyak $323,880,340 yang termasuk perbelanjaan kemajuan sejumlah $7,766,900.
Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi dalam mukadimahnya di Persidangan Majlis Mesyuarat Negara, hari ini, berkata bahawa keutamaan perbelanjaan kementeriannya sepanjang tempoh 2015-2020 tertumpu pada tiga keutamaan strategik.
Keutamaan-keutamaan berkenaan adalah menerapkan bahawa kesihatan tanggungjawab semua; mencegah dan mengawal penyakit-penyakit tidak berjangkit; dan memberi perkhidmatan cemerlang melalui penyepaduan dan penyejajaran perkhidmatan-perkhidmatan penjagaan kesihatan.
Yang Berhormat Dato berkata, beberapa usaha yang menjurus kepada ketiga-tiga strategi utama berkenaan telah dilaksanakan termasuklah penyepaduan beberapa buah pusat kesihatan untuk memberikan perkhidmatan secara pusat sehenti dan percantuman perkhidmatan EMAS (Emergency, Medical and Ambulance Service) bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.
Selain itu juga, pengurangan masa menunggu bagi beberapa perkhidmatan kesihatan, penubuhan pusat kecemerlangan dan mendapatkan pengiktirafan piawaian antarabangsa seperti pengiktirafan ISO 17025 bagi perkhidmatan makmal dan akreditasi antarabangsa Joint Commission International (JCI) bagi Pusat Kesihatan Pengkalan Batu, yang merupakan pusat kesihatan kerajaan pertama yang mendapat akreditasi seumpamanya.
Di sebalik pencapaian-pencapaian berkenaan, tambahnya, Kementerian Kesihatan menyedari masih banyak lagi usaha yang perlu diungkayahkan dan cabaran yang perlu ditangani bagi memenuhi jangkaan pihak-pihak yang berkepentingan.
Beliau turut menyentuh mengenai isu-isu yang sentiasa menjadi keluhan para pelanggan, antaranya mesra pelanggan, masa menunggu yang lama semasa mengambil ubat dan mendapatkan rawatan di perkhidmatan kecemasan dan kekurangan ubat.
Dalam pada itu, ujar beliau, majoriti isu-isu dan cadangan yang diutarakan semasa beberapa sesi muzakarah bersama pihak berkepentingan dari dalam dan luar termasuklah bersama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara di setiap daerah di negara ini adalah bertumpu kepada tujuh tema.
Tujuh tema yang dimaksudkan itu adalah mesra pelanggan, keselamatan makanan, komunikasi, promosi kesihatan, akses kepada perkhidmatan dan kemudahan, pengambilan ubat-ubatan dan perkhidmatan yang berkualiti termasuklah penyediaan sistem perjanjian.
Menurut Yang Berhormat Dato, cadangan atau isu yang diutarakan berkenaan adalah sejajar dengan hala tuju, inisiatif-inisiatif dan pelan-pelan tindakan yang telah direncanakan dan sedang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan.