Friday, April 26, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Peruntukan RM2 juta tingkatkan projek penyelidikan UMS

    KOTA KINABALU, 14 OKT – Kerajaan Sabah hari ini mengumumkan peruntukan RM2 juta kepada Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk meningkatkan projek penyelidikannya.

    Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata melalui projek penyelidikan, ia akan membuka peluang baharu untuk pembelajaran serta pembangunan dan beliau berharap dapat melihat UMS menjalankan lebih banyak kajian dan penyelidikan.

    Hajiji yang juga Pro-Canselor UMS dimaklumkan mengenai pelbagai program termasuk projek penyelidikan yang sedang dijalankan universiti itu ketika bertemu dengan Naib Canselor UMS yang baharu, Prof Datuk Dr Kasim Md Mansur beberapa hari lepas.

    “Saya harap ini (peruntukan RM2 juta dari kerajaan negeri kepada dana penyelidikan UMS) akan merancakkan agenda penyelidikan universiti,” katanya ketika berucap pada majlis ikrar Aku Janji sempena minggu orientasi pelajar baharu UMS bagi kemasukan 2022/2023 di sini, hari ini.

    Turut hadir Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan Datuk Mohd Arifin Mohd Arif dan Pengerusi Lembaga Pengarah UMS Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

    Seramai 4,576 pelajar telah dipilih untuk sesi kemasukan itu dengan 60.6 peratus atau 2,770 daripadanya adalah dari Sabah dan selebihnya termasuk 1,144 dari negeri lain, 582 dari Sarawak dan 23 pelajar antarabangsa.

    Hajiji menasihatkan pelajar baharu yang berbeza latar belakang agama dan kaum agar menjadikan UMS sebagai wadah untuk terus mengekalkan dan mengeratkan perpaduan yang terjalin antara mereka.

    “Melalui persefahaman sebegini, akan wujud keharmonian dan perpaduan kaum dan agama. Kita hendaklah sentiasa bersatu padu demi memelihara keamanan dan kemakmuran,” katanya. – Bernama

    Datuk Seri Hajiji Noor ketika mempengerusikan mesyuarat pertama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 di Pejabat GRS Alam Mesra kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...