Peruntukan segera RM50j bantu rakyat terjejas COVID-19 di Sabah

KOTA KINABALU, 1 OKT – Kerajaan Sabah menyediakan peruntukan segera RM50 juta bagi membantu rakyat yang terjejas akibat penularan COVID-19, kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.

Beliau berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jemaah Menteri Sabah yang diadakan hari ini bagi membincangkan isu berkaitan pandemik COVID-19 termasuk usaha mengekang penularan wabak berkenaan di negeri ini.

“Daripada jumlah itu, RM10 juta diperuntukkan untuk bakul makanan kepada penduduk-penduduk terkesan di empat daerah terlibat dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar iaitu Tawau, Lahad Datu, Semporna dan Kunak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Hajiji berkata semua pengurusan berkaitan isu COVID-19 di Sabah juga akan dikendalikan sepenuhnya oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 negeri.

Beliau berkata jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong, manakala Pengarah Kesihatan Sabah Datuk Dr Christina Rundi pula menjadi timbalan pengerusi dan ahli-ahlinya terdiri daripada agensi ne-geri serta persekutuan yang berkaitan.

“Dengan ini, Sabah COVID-19 Command Centre dimansuhkan dan peranannya diletakkan di bawah jawatankuasa ini,” katanya.

Terdahulu, Hajiji mempengerusikan mesyuarat jemaah menteri Sabah yang pertama selepas mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Sabahyang baharu sekali gus membentuk kerajaan negeri pada Selasa. – Bernama

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mempengerusikan mesyuarat jemaah menteri di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, kelmarin. – Bernama