Peruntukan subsidi RM44 juta untuk pesawah Sabah, Sarawak

PUTRAJAYA, 13 JUN – Seramai 56,446 pesawah padi bukit di Sabah dan Sarawak akan menerima manfaat menerusi Skim Subsidi Baja dan Racun Padi Bukit dan Huma (SBRPB) sebanyak RM44 juta yang diperuntukkan kerajaan, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub.

Beliau berkata skim subsidi itu akan membantu 11,684 pesawah di Sabah dan 44,762 pesawah di Sarawak semasa musim penanaman di kedua-dua negeri yang bermula awal Ogos depan.

SBRPB yang diperkenalkan pada 2015 merupakan inisiatif kerajaan khusus bagi membantu pesawah di Sabah dan Sarawak yang mengusahakan penanaman padi bukit.

Melalui inisiatif itu, pengeluaran padi bukit berjaya ditingkatkan daripada satu metrik tan per hektar kepada sehingga 2.5 metrik tan per hektar serta meningkatkan pendapatan pesawah daripada RM180 sebulan kepada antara RM320 dan RM700 sebulan, katanya.

“Diharap mereka (pesawah) dapat berusaha meningkatkan produktiviti dan pendapatan dari masa ke semasa menerusi skim ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis sambutan Aidilfitri kementeriannya di sini hari ini.

Salahuddin dalam pada itu berkata kementerian sedang mengkaji beberapa model penyatuan tanah dan model terpilih akan diumumkan pada penghujung tahun ini.

“Apa yang penting, model yang dipilih nanti harus mengambil kira kepentingan tuan tanah, pesawah, pelabur dan kerajaan.

Penyatuan tanah ini akan diterajui oleh salah satu agensi di bawah kementerian,” katanya. – Bernama

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub bersama pegawai tinggi kementeriannya membuat teh tarik semasa Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri kementeriannya hari ini. – Bernama