Perusahaan kecantikan dan kesihatan didenda $2,000

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JUN – Gara-gara memaparkan lesen perniagaan di alamat yang berbeza, pemegang lesen perniagaan sebuah perusahaan kecantikan dan kesihatan (E.K.K) telah dikenakan denda $2,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Pemegang lesen perniagaan Magtoo Hair Beauty & Nail Salon (Premis Perempuan) yang terletak di kawasan komersial Berakas telah mengaku bersalah dan diberi tempoh sehingga 31 Ogos untuk membayar denda berkenaan dan jika gagal berdepan hukuman penjara dua bulan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan, mempamerkan lesen perniagaan di alamat yang berbeza adalah menjadi kesalahan di bawah Seksyen 20(a) Perintah Establismen Kecantikan dan Kesihatan 2016 iaitu menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah.

Perbicaraan tersebut diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur ‘Adliatul Hidayah binti Haji Mohd Zaidi selaku pendakwa raya bagi pihak kerajaan yang telah membacakan kes E.K.K dalam kawasan Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

Sehubungan ini, jabatan berkenaan mengingatkan mana-mana pemegang lesen di bawah Perintah Establismen Kecantikan dan Kesihatan Pindaan 2016 agar mematuhi peraturan-peraturan semasa di bawah perintah tersebut.

Jika sabit kesalahan boleh didenda sebanyak $10,000 dan seterusnya denda tidak melebihi $100 setiap hari jika kesalahan masih berterusan.

Sebarang aduan dan maklumat yang berkaitan dan mencurigakan bolehlah disampaikan terus ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan atau melalui Talian Darussalam 123, WhatsApp 8333123 atau e-mel [email protected]