Perusahaan tempatan bantu perkembangan ekonomi negara

Oleh Nurdiyanah R.

Menyaksikan detik-detik pandemik COVID-19 yang membelenggu seluruh dunia dan tidak terkecuali negara kita sememangnya telah memberikan impak besar kepada perkembangan sosio-ekonomi dunia sehingga mendorong kita untuk mengadaptasi pelbagai normal baharu dalam mengharungi kehidupan sehari-hari.

Dengan meyakini segala yang berlaku pastinya tersimpan kemanisan hikmah menanti, ujian itu tidak pernah mematahkan semangat ‘berkarih, berjarih, belurih’ pelbagai lapisan masyarakat tanah air kita meliputi golongan muda mahu pun veteran untuk terus bangkit bersama-sama menunjang perkembangan ekonomi secara holistik demi menjana pendapatan sara diri, keluarga dan juga negara.

Demi merealisasikan salah satu matlamat dalam Wawasan Negara 2035 iaitu ‘ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan’, semestinya kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan masyarakat di negara ini dari hari ke hari sentiasa berjuang dalam menerokai sumber ekonomi yang bervariasi tanpa bergantung sepenuhnya kepada hasil minyak dan gas serta barangan import dari luar.

Itulah yang menjadi harapan negara agar segala usaha perekonomian tempatan dapat dilaksanakan sedikit demi sedikit mampu menjulang kemajuan bumi Darussalam setanding dengan negara maju lainnya. Oleh yang demikian, kreativiti dan inovasi itu amat penting dalam memastikan ekonomi yang produktif dan progresif.

Bangkitnya usahawan peladang tempatan

Dari semasa ke semasa, penglibatan masyarakat di negara ini tidak kira peringkat usia yang bukan hanya lagi dipelopori oleh golongan veteran bahkan juga golongan muda kini dilihat semakin progresif mengorak langkah menerokai bidang pertanian sama ada dilakukan secara sampingan mahu pun sepenuh masa.

Yang Berhormat Menteri-menteri Kabinet ketika meninjau hasil tanaman yang dijual oleh masyarakat setempat dalam usaha pihak kerajaan memasarkan hasil pertanian pengusaha dan peladang tempatan sekaligus mengukuhkan sektor pertanian di negara ini.
Dengan wujudnya pelbagai perusahaan yang dikendalikan oleh anak-anak tempatan, ia dapat mendukung perkembangan ekonomi negara secara holistik.

Hakikatnya, tidak kira penanaman yang menggunakan sistem tradisional mahu pun berteknologi moden, ia sememangnya suatu yang mampu memberikan pendapatan lumayan dan secara tidak langsung sebagai pemangkin semangat berdikari dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Jiwa perjuangan itulah yang jelas terbukti mewarnai pentas perekonomian negara apabila seramai lebih 40 orang daripada pengusaha tanaman sayur-sayuran, buah-buahan dan ternakan serta produk tambah nilai agrimakanan (makanan proses) menyertai platform keusahawanan menerusi Program Gerai Hujung Minggu Pasar Kitani yang diadakan di ruang Concourse, Stadium Negara Hassanal Bolkiah di Berakas sejak beberapa bulan lalu.

Program setiap minggu anjuran Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) melalui Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) serta Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) itu memberikan platform alternatif bagi memasarkan hasil pertanian pengusaha dan peladang tempatan ini antaranya buah-buahan seperti pisang, rambutan, asparagus, salad, mulberi; hasil ternakan seperti telur ayam, telur puyuh, telur itik; kopi Arabika dan banyak lagi, dalam usaha mengukuhkan lagi sektor pertanian di negara ini.

Melalui program ini, ia diharapkan dapat mengembang majukan perniagaan pengusaha dan peladang tempatan, justeru meningkatkan keluaran hasil ladang sehingga mampu menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negara Brunei Darussalam.

Di samping itu, ia juga sebagai salah satu usaha meningkatkan produktiviti pengusaha dan peladang, membantu mereka membekalkan hasil segar tempatan berkualiti tinggi terus kepada pelanggan selain platform untuk berinteraksi secara langsung dengan orang ramai dan seterusnya mempromosikan hasil dari ladang masing-masing.

PMKS menerusi Bruneian Made

Dengan tahun silih berganti, kita dapat menyaksikan detik-detik tanah air tempat kita dilahirkan kian membangun dan maju.

Perkembangan bukan hanya dapat dilihat daripada berdirinya segala bangunan dan infrastrukturnya, namun hakikatnya negara kita juga telah berjaya mengeluarkan pelbagai produk atau barangan sendiri atas hasil keringat para usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mahupun pengusaha yang sudah berjaya meraih imej tersendiri sama ada di negara sendiri dan juga luar negara.

Semangat penglibatan seramai 20 pengusaha berjiwa ‘Brunei Yakin’ itulah yang jelas dilihat apabila berlangsungnya siri pameran Bruneian Made yang pertama di Airport Mall anjuran Darussalam Enterprise (DARe) sekitar dua bulan lalu. Pelbagai produk buatan orang Brunei dengan kehebatan dan keistimewaan yang tersendiri itu, bukan hanya terdiri daripada penghasilan produk makanan dan minuman, bahkan barangan pakaian dengan rekaan fesyen jejaka Muslim turut ditampilkan, tudung-tudung direka khas untuk menyerlahkan keanggunan pemakainya. Selain itu produk kecantikan dan kesihatan juga turut berjaya diketengahkan oleh beberapa pengusaha tempatan. Sememangnya ia bagaikan batu lonca-tan bagi pengusaha-pengusaha tanah air untuk mengetengahkan produk-produk mereka di mata masyarakat di negara ini dengan lebih dekat lagi.

Adapun pameran Bruneian Made itu salah satu inisiatif DARe yang tidak hanya memberikan peluang kepada PMKS untuk menjangkau pangkalan pelanggan yang lebih besar dan meningkatkan penjualan produk mereka melalui pelbagai platform di luar talian dan dalam talian, ia juga menyaksikan pelbagai produk baharu yang diperbaiki dan diperkenalkan. Sehubungan dengan itu, sejak Bruneian Made diperkenalkan pada Mei 2017, peningkatan jumlah penyertaan PMKS dilihat semakin memberangsangkan di mana daripada 10 pengusaha dengan hanya 29 produk dan kini meningkat kepada 28 PMKS dengan 132 produk.

Serlah kemahiran tempuhi cabaran

Dalam pada itu, kemeriahan dunia keusahawanan tanah air juga turut semakin giat diwarnai oleh pelbagai penglibatan masyarakat sama ada secara individu ataupun berkumpulan yang begitu proaktif menunjukkan hasil sentuhan karya kreativiti mereka secara terbuka dan konsisten dari semasa ke semasa khususnya dalam industri seni kreatif meliputi bidang jahitan, rekaan fesyen, lukisan, kraf tangan, kesihatan dan kecantikan, dan segala kemahiran yang dimiliki.

Hal ini jelas membuktikan bahawa daripada sebuah kreativiti dijadikan hobi, dari itu terhasilnya rasa cinta dan minat sehingga ia menjadi suatu pekerjaan yang mampu menghasilkan serta meningkatkan perekonomian diri, keluarga dan juga negara, di samping dalam sama-sama untuk mengurangkan masalah pengangguran di negara ini.

Salah satunya, jelas terbukti dengan adanya keteguhan semangat juang dan keyakinan diri, empat orang wanita warga tempatan berjaya meraih impian mereka untuk mengetengahkan kemahiran seni jahitan menerusi perusahaan yang dikenali dengan nama Kedai Jahit Satu Kampung Satu Produk (1K1P) yang terletak di Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Mentiri sejak penghujung tahun lalu.

Mereka berpadu tenaga untuk mengembangkan kemahiran yang diperoleh selepas menamatkan latihan kelas jahitan pakaian yang diungkayahkan oleh Biro Kemasyarakatan dan Perhubungan (BKP), Majlis Perundingan Kampung (MPK) RPN Kampung Panchor Mengkubau, Mukim Mentiri.

Berbekalkan prinsip bak kata pepatah ‘Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’, mereka berani bangkit menceburi dunia keusahawanan tanah air yang sekali gus dihasrat untuk membuka minda masyarakat setempat untuk sama-sama menyemai sikap berdikari dengan curahan bakat dan kemahiran yang ada demi meningkatkan prestasi diri dan keluarga meskipun mengharungi arus gelombang liku-liku persaingan dunia perniagaan yang sentiasa wujud.

Selain itu, empat orang belia itu juga telah tampil ke hadapan untuk menyahut cabaran dengan menceburi kerjaya tukang gunting serta keusahawanan apabila mereka membuka Kedai Gunting BarberKu di Ruang Letak Kereta VIP, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas yang juga mula membuka lembarannya sekitar penghujung tahun lalu.

Dengan adanya kemahiran menerusi Program Singkat Kursus Kemahiran Street Art Haircut yang mereka perolehi di Pusat Pembangunan Belia (PPB), KKBS itu sememangnya telah mencetus semangat juang kepada anak-anak belia tempatan ini untuk mempelopori peluang bidang perusahaan penggayaan rambut kepada masyarakat di negara ini. Di samping itu, untuk memberi contoh dan inspirasi kepada belia-belia tempatan lain dengan kejayaan dalam bidang yang mereka ceburi.

Oleh yang demikian, berjuanglah kita bersama, tempuhi cabaran dengan sebaiknya, demi mewujudkan kesejahteraan bangsa, agama dan tanah air di mana kita dilahirkan. Bersamalah kita menggenggam amanah demi menjayakan Wawasan Negara 2035 dan juga memartabatkan Negara Zikir berlandaskan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB). Selamat menyambut Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang ke-37!