Perusahaan Zambia galak golongan muda menanam pokok

LUSAKA – Plant A million, sebuah per-usahaan sosial berpangkalan di Zambia yang menjalankan tapak semaian untuk pelbagai pokok telah menggalakkan masyarakat menanam pokok sebagai satu cara untuk menentang perubahan iklim dan kesannya terhadap alam sekitar.

Syarikat itu, yang dilancarkan secara rasmi pada tahun 2018, telah menjalankan program penanaman pokok yang melibatkan penyertaan golongan muda dari pelbagai komuniti Lusaka, ibu negara Zambia.

“Golongan muda perlu diperkasakan dengan pengetahuan dan kemahiran untuk melindungi alam sekitar supaya ia dapat berkhidmat kepada mereka dan generasi akan datang dengan lebih baik,” kata Emanuel Chibesakunda, ketua pegawai eksekutif Plant A Million.

Chibesakunda berkata Plant A Million menjalankan program pendidikan dan advokasi di sekolah dan komuniti di sekitar Lusaka tentang alam sekitar dan keperluan untuk menanam pokok.

Beliau menyebut perusahaan sosial itu mendermakan pokok kepada masyarakat bagi membolehkan mereka menjalankan program penanaman pokok sebagai cara melindungi alam sekitar dan menambah keperluan pemakanan.

Raphael Bwembya, wakil komuniti Koinonia, yang baru-baru ini menjalankan latihan penanaman pokok selepas menerima pelbagai jenis pokok buah-buahan daripada Plant A Million, berkata masyarakat amnya dan golongan muda khususnya, kini lebih sedar tentang manfaat menanam pokok.

Bwembya seterusnya menyebut melalui penglibatannya dengan komuniti Koinonia, yang terletak di bahagian barat Lusaka, Plant A Million telah menggalakkan lebih 50 orang muda untuk mengambil bahagian dalam usaha penanaman pokok.

Moffat Banda, salah seorang belia yang terlibat dalam program penanaman pokok yang disokong oleh Plant A Million memberitahu Xinhua dalam temu bual bahawa idea itu membantu sebilangan belia untuk menghargai keperluan untuk menjaga alam sekitar. “Golongan muda di kawasan saya kini memahami bahawa menanam pokok menghalang hakisan tanah dan juga membantu meningkatkan kualiti udara serta menyediakan tempat tinggal untuk haiwan. – Xinhua

Golongan muda dari komuniti Koinonia memeriksa pokok yang ditanam beberapa tahun lalu semasa program penanaman pokok di Lusaka, Zambia. – Xinhua
Seorang pekerja melakukan tugasnya di tapak semaian tumbuhan Plant A Million. – Xinhua