Perutusan tahniah

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JULAI – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menerima perutusan tahniah sempena Hari Keputeraan ke-73 daripada beberapa pemimpin dunia dan duta-duta besar dan mutlak di negara ini.

Antara pemimpin luar negara yang menghantar perutusan tahniah ialah Presiden Republik India, Tuan Yang Terutama Ram Nath Kovind yang mewakili negara, rakyat India dan dirinya sendiri mengucapkan tahniah atas Hari Keputeraan ke-73 Tahun Baginda Sultan dan menghargai sumbangan Baginda Sultan dalam hubungan dua hala serta peranan Kebawah Duli Yang Maha Mulia sebagai pemimpin paling kanan dalam ASEAN.

Beliau turut mengharapkan Baginda dikurniakan kesihatan dan kebahagiaan serta sihat sejahtera dan Negara Brunei Darussalam makmur sentiasa.

Manakala Presiden Republik Pakistan, TYT Dr Arif Alvi dan Perdana Menteri Pakistan, TYT Imran Khan turut mengucapkan Selamat Hari Keputeraan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan mengharapkan hubungan dua hala kedua-dua buah negara terus kukuh pada masa-masa akan datang serta mendoakan Baginda Sultan dikurniakan kesihatan baik dan kegembiraan serta Negara Brunei Darussalam terus berkembang dan makmur.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut menerima perutusan tahniah daripada duta-duta besar dan mutlak negara-negara asing di negara ini, antaranya; Pesuruhjaya Tinggi Amerika Syarikat ke Negara Brunei Darussalam, TYT Matthew J. Matthews yang melahirkan kebanggaan dapat bekerja bersama dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kerajaan Brunei bagi mengukuhkan dan menjalin hubungan berkekalan antara Brunei Darussalam dan Amerika Syarikat. Beliau turut melahirkan penghargaan atas perkongsian kejayaan dua negara dan berharap Baginda dikurniakan kesihatan dan kegembiraan berpanjangan.

Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Brunei Darussalam, PYT Yu Hong pula menekankan peranan Baginda Sultan dalam mempromosikan kerjasama antara China dan Brunei dalam perutusannya sempena Hari Keputeraan ke-73 ini. Menurutnya, selepas lawatan balas Presiden China TYT Xi Jinping ke negara ini pada November lalu dan keberangkatan Baginda ke Forum Jalur dan Laluan di Beijing April ini, kedua-dua pemimpin mencapai kesepakatan lebih lanjut bagi meningkatkan lagi hubungan ke tahap baharu. PYT Yu Hong turut mendoakan Baginda dikurniakan kesihatan dan kejayaan berterusan serta Negara Brunei Darussalam dilimpahi kemakmuran dan rakyatnya terus sihat sejahtera.

Turut menyembahkan ucapan tahniah kepada Baginda Sultan ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat Bangladesh, TYT Naib Marsyal Udara (B) Mahmud Hussain yang melahirkan kebanggaan berkongsi persahabatan dalam meraikan hari istimewa ini. Beliau mewakili rakyat Bangladesh di negara ini, menyembahkan ucapan tahniah dan penghargaan atas penerimaan Baginda Sultan terhadap sumbangan rakyat Bangladesh dalam pembangunan Brunei.

Menurutnya, rakyat Bangladesh mendoakan kegembiraan dan kerahmatan kepada Baginda Sultan dan kerabat diraja pada hari istimewa ini.

Bagi Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke Negara Brunei Darussalam, TYT Motohiko Kato pula, pada Hari Keputeraan ini, beliau ingin melahirkan rasa hormat mendalam ke atas kepimpinan cemerlang Baginda yang membawa keamanan dan kemakmuran kepada Brunei dan berikrar untuk berusaha sebaik mungkin mengukuhkan hubungan Jepun dan Brunei melalui pelbagai bentuk kerjasama ekonomi dan budaya serta pertukaran rakyat.

Menurutnya, dalam era baharu Jepun, Reiwa, hubungan antara Jepun dan Brunei dicerminkan melalui hubungan mesra kerabat diraja Brunei dan kerabat diraja Jepun yang baik dan percaya hubungan kedua-dua negara dan kerabat diraja akan terus terjalin erat. Beliau menyembahkan ucapan tahniah, selamat maju jaya serta kegembiraan dan kemakmuran Baginda Sultan dan seluruh rakyat Negara Brunei Darussalam.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, TYT Ismail bin Haji Salam turut tidak ketinggalan menyembahkan ucapan tahniah sempena Hari Keputeraan ke-73 ini, menekankan kebijaksanaan pemerintahan Baginda yang mengutamakan agama Islam diperkayakan lagi dengan warisan tradisi dan budaya yang membolehkan negara ini sejajar dengan negara maju lainnya, rakyatnya pula menikmati akses kepada kemudahan moden berkelas dunia, daripada pendidikan, perubatan sehinggalah perumahan dan kebajikan. Beliau turut gembira Malaysia dan Negara Brunei Darussalam mempunyai hubungan terbaik ketika ini melalui langkah-langkah yang dibuat untuk menjalinkan hubungan mesra antara kedua-dua kerajaan dan pada peringkat rakyat.

Manakala Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Indonesia, Dr Sujatmiko menyembahkan ucapan tahniah dan berharap dapat terus bekerjasama dengan Baginda Sultan dan kerajaan Brunei dalam bidang-bidang berpotensi unttuk dikembangkan, terutamanya perdagangan, pelaburan, pelancongan, pendidikan, pertahanan dan pertanian. Beliau turut mendoakan Baginda Sultan dirahmati dengan kesihatan dan kegembiraan berpanjangan dan rakyat terus makmur sentiasa.

Duta Istimewa dan Mutlak Thailand, PYT Wanthanee Viputwongsakul mewakili Kedutaan Thailand dan masyarakat Thailand di negara ini berbangga dapat menyembahkan ucapan tahniah dan bersama-sama meraikan hari istimewa ini.

Beliau mengharapkan Baginda Sultan dikurniakan kesihatan dan kegembiraan serta keamanan dan kemakmuran negara di bawah naungan Baginda Sultan.