Perutusan tahniah kepada Iran

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Feb – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan menghantar titah perutusan tahniah kepada Presiden Republik Islam Iran, Tuan Yang Terutama Dr Hassan Rouhani dan kerajaan serta rakyat Republik Iran sempena Hari Kebangsaan Republik Islam Iran.

Dalam titah perutusan kepada Tuan Yang Terutama, Kebawah Duli Yang Maha Mulia merakamkan kegembiraan ke atas persahabatan yang akrab dinikmati kedua-dua buah negara dan rakyat masing-masing dan berharap pertalian yang bernilai ini dapat diperkukuhkan di tahun-tahun mendatang, dalam bidang kerjasama dua hala dan antarabangsa.

Pada mengakhiri titah perutusan tersebut, Baginda berdoa semoga Allah SWT mengurniakan kesihatan dan kegembiraan kepada Tuan Yang Terutama dan rakyat Republik Islam Iran akan terus memperolehi kemajuan dan kemakmuran yang berpanjangan.