Monday, March 17, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perutusan tahniah kepada Korea dan Jerman

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Okt – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah perutusan tahniah kepada Presiden Republik Korea, Moon Jae-in, kerajaan serta rakyat Republik Korea bersempena dengan National Foundation Day.

    Baginda juga turut berkenan menghantar titah perutusan tahniah kepada Presiden Republik Persekutuan Jerman, Frank-Walter Steinmeier; Canselor Jerman, Angela Merkel, kerajaan serta rakyat Republik Persekutuan Jerman sempena dengan Day of German Unity.

    Dalam titah perutusan kepada Presiden Republik Korea, Baginda menzahirkan bahawa Negara Brunei Darussalam menganggap hubungan dengan Republik Korea adalah sangat penting dan berharap dapat memperkukuhkan lagi hubungan dua hala dan bernilai yang telah sekian lama dinikmati oleh kedua-dua buah Negara.

    Baginda seterusnya juga merakamkan penghargaan terhadap sokongan Republik Korea yang berterusan dalam ASEAN terutama sekali dalam usaha pembangunan masyarakat dan seterusnya berharap dapat bekerja rapat dengan Presiden Moon Jae-in dalam meningkatkan rakan kongsi serantau selaku Negara Penyelaras bagi Dialog Hubungan ASEAN-Korea pada tahun depan.

    Pada mengakhiri titah perutusan tersebut Baginda seterusnya menyampaikan salam muhibah dan semoga Presiden Moon Jae-in akan berada dalam kesihatan yang baik dan kegembiraan serta rakyat Republik Korea akan beroleh kejayaan dan kemakmuran berterusan.

    Sementara itu, dalam titah perutusan kepada Presiden Frank-Walter Steinmeier, Bagi-nda sungguh menghargai persahabatan mesra yang dikongsikan bersama oleh kedua-dua rakyat masing-masing dan kerjasama dalam pelbagai bidang dan berharap untuk terus meningkatkan persahabatan yang berharga tersebut di tahun-tahun mendatang.

    Dalam titah perutusan Baginda kepada Canselor Angela Merkel pula, Baginda berharap semoga beliau dan rakyat Persekutuan Jerman akan bergembira menyambut perayaan tersebut.

    Baginda seterusnya berharap akan berpeluang membaharui dan mengukuhkan lagi persahabatan yang mesra di antara rakyat Negara Brunei Darussalam dan rakyat Republik Persekutuan Jerman termasuk dalam kerjasama yang sungguh bernilai di antara kedua-dua buah negara baik dalam bidang-bidang dua hala dan antarabangsa. Baginda mengakhiri kedua-dua titah perutusan tersebut dengan menyampaikan salam muhibah dan kesejahteraan serta kegembiraan kepada Presiden Frank-Walter Steinmeier dan Canselor Angela Merkel dan seterusnya bagi rakyat Republik Persekutuan Jerman akan menikmati perkembangan dan kemakmuran yang berterusan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda