Perutusan tahniah kepada Malaysia

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Ogos – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah-titah perutusan tahniah kepada Yang Di-Pertuan Agong Malaysia, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V dan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dato Laila Utama Dr Mahathir bin Mohamad, kerajaan dan rakyat Malaysia bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kemerdekaan Malaysia kali ke-61.

Dalam titah perutusan Baginda Sultan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V, Baginda bersyukur kehadrat Allah SWT dengan jalinan silaturahim yang akrab dan hubungan dua hala yang sangat erat antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia.

Baginda yakin hubungan yang telah sekian lama terjalin itu akan terus berkekalan dan diperkukuhkan lagi demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat dan negara masing-masing.

Sementara itu dalam titah perutusan yang sama kepada Tun Dr Mahathir, Baginda juga bersyukur kehadrat Ilahi kerana ikatan silaturahim serta hubungan kerjasama dua hala di antara kerajaan dan rakyat Negara Brunei Darussalam dan Malaysia terus dipupuk dan diperkukuhkan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia yakin di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir, hubungan akrab dan mesra ini akan terus berkekalan dan dipertingkatkan lagi pada masa-masa akan datang demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat kedua-dua buah negara.

Baginda juga seterusnya yakin bahawa Perundingan Tahunan Ketua-ketua Kerajaan kali ke-22 di Malaysia nanti akan terus memberikan manfaat dalam mengembang luaskan lagi hubungan kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang yang sedia ada.

Pada mengakhiri perutusan-perutusan tersebut, Baginda dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berdoa kehadrat Allah SWT semoga Yang Di-Pertuan Agong serta kerabat Baginda sentiasa dikurniakan kesejahteraan dan perlindungan.

Begitu juga dengan Tun Dato Laila Utama Dr Mahathir dan Tun Datin Dr Siti Hasmah serta keluarga dikurniakan kesihatan yang berpanjangan dengan kerajaan serta rakyat Malaysia terus menikmati kemakmuran dan kemajuan yang berkekalan.