Perutusan tahniah kepada Oman

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 NOV – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan menghantar titah perutusan tahniah kepada Sultan Oman, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Qaboos bin Said Al-Said dan kerajaan serta rakyat Kesultanan Oman sempena ulang tahun Hari Kebangsaan Kesultanan Oman.

Dalam titah perutusan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menzahirkan kegembiraan bahawa rakyat Negara Brunei Darussalam dan rakyat Kesultanan Oman terus menikmati persahabatan yang akrab dan kerjasama yang rapat dalam pelbagai bidang bagi kepentingan bersama dan berharap dapat mengukuhkan persahabatan yang sangat bernilai ini di tahun-tahun mendatang.

Pada mengakhiri titah perutusan tersebut, Baginda Sultan seterusnya berdoa ke hadrat Allah SWT semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Qaboos akan sentiasa berada dalam kegembiraan dan kesihatan yang berterusan dan rakyat Kesultanan Oman akan menikmati kemajuan dan kemakmuran yang berpanjangan.