Perutusan tahniah kepada PM baharu M’sia

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MAC – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan menghantar titah perutusan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin bin Mohd Yassin di atas pelantikannya sebagai perdana menteri Malaysia ke-8.

Dalam titah perutusan tahniah itu, Baginda yakin di bawah kepimpinan dan kebijaksanaan Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin Yassin, Negara Malaysia akan terus berkembang maju dan makmur serta rakyatnya sentiasa menikmati keamanan dan keharmonian berpanjangan.

Baginda seterusnya menyatakan sebagai negara jiran yang dekat, Negara Brunei Darussalam sangat menghargai jalinan persahabatan yang erat dan mesra serta hubungan kerjasama dua hala yang aktif dengan Malaysia dalam pelbagai bidang yang berkepentingan.

Baginda percaya tali silaturahim yang sudah sekian lama terjalin antara kedua-dua buah negara akan terus dipupuk dan terpelihara di masa-masa akan datang, demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat kedua-dua buah negara.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia menyambut baik peluang-peluang untuk bekerjasama rapat dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam mengembangluaskan lagi hubungan kedua-dua buah negara baik di peringkat dua hala, serantau dan antarabangsa.

Baginda dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha seterusnya mengalu-alukan kunjungan Yang Amat Berhormat Tan Sri dan isteri, Yang Amat Berbahagia Puan Sri Norainee Abdul Rahman ke Negara Brunei Darussalam dalam masa terdekat. Pada mengakhiri perutusan tersebut, Baginda dan Baginda Raja Isteri berdoa ke hadrat Allah SWT semoga Tan Sri dan isteri serta keluarga akan sentiasa dalam keadaan sihat walafiat dan di bawah perlindunganNya jua.