Perutusan tahniah kepada Raja Thailand

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Julai – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar perutusan tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Vajiralongkorn Bodindradebayavarangkun, Raja Thailand, sempena Hari Keputeraan Baginda yang ke-65 tahun.

Dalam titah perutusan itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menyampaikan salam peribadi dan tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Vajiralongkorn Bodindradebayavarangkun sempena Hari Keputeraan Baginda dan seterusnya berharap akan berpeluang memperbaharui ke arah mengukuhkan lagi persahabatan peribadi dan juga kerjasama dua hala yang bernilai bagi kepentingan kedua-dua buah negara.

Baginda mengakhiri titah perutusan tersebut dengan berharap semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Vajiralongkorn Bodindradebayavarangkun dan kerabat diraja sentiasa berada dalam kesihatan, kesejahteraan dan kegembiraan yang berpanjangan.