Monday, May 12, 2025
27.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perutusan tahniah kepada Republik Rakyat China

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MEI – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar perutusan tahniah kepada Republik Rakyat China, yang telah disampaikan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar, melalui rakaman video.

    Dalam perutusan tahniah tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengucapkan setinggi tahniah kepada kerajaan dan Republik Rakyat China atas pelancaran 2021 ASEAN-China Year Of Sustainable Development Cooperation serta ulang tahun ke-30 hubungan diplomatik Brunei dan China, dan semua projek serta program yang akan dilaksanakan di bawah kerjasama ini.

    Perutusan tahniah tersebut telah disampaikan melalui rakaman video pada acara berkenaan yang diadakan secara fizikal pada hari ini di Beijing, Republik Rakyat China.

    Acara tersebut dipengerusikan oleh Republik Rakyat China dan Negara Brunei Darussalam telah diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah bersama bagi acara tersebut yang juga menandakan titik permulaan aktiviti-aktiviti berkaitan di masa akan datang, di samping memperingati ulang tahun ke-30 hubungan dialog ASEAN-China.

    Dalam majlis itu juga, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi juga diberi penghormatan untuk menyampaikan ucapan alu-aluan yang dibacakan menerusi rakaman video oleh Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Seri Paduka Ar Haji Marzuke bin Haji Mohsin. Dalam ucapannya, Yang Berhormat Dato menekankan akan kepentingan dalam memperkasakan usaha rantau ASEAN dan rakan-rakan dialog dengan strategi yang dapat dilaksanakan untuk mencapai pembangunan lestari melalui persefahaman dan kerjasama yang lebih mendalam.

    Yang Berhormat Dato juga menambah beberapa usaha sedang dan telah diungkayahkan yang melibatkan rantau ASEAN secara amnya ke arah mencapai pembangunan lestari. Bagi Negara Brunei Darussalam sahaja, usaha tersebut merangkumi perancangan dan pelaksanaan tindakan jangkamasa sederhana dan panjang antaranya Digital Economy Masterplan 2025, National Economic Blueprint 2021, National Climate Change Policy dan The National Biodiversity Strategies and Action Plans (NBSAP).

    Majlis perasmian sehari itu mengumpulkan para peserta dan perwakilan dari Republik Rakyat China, Sekretariat ASEAN dan juga kedutaan negara-negara anggota ASEAN.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda