BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OKT – Perwakilan-perwakilan luar negara di Negara Brunei Darussalam telah menyembahkan perutusan-perutusan takziah kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas kemangkatan anakanda Baginda, Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim yang selamat disemadikan di Kubah Makam Diraja, kelmarin.
Antara yang menyembahkan perutusan takziah ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Arab Saudi ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Emad A. S Al Muhanna.
Dalam perutusan berkenaan, Tuan Yang Terutama dan bagi pihak kedutaan di Brunei Darussalam menyembahkan ucapan takziah yang mendalam kehadapan majlis Baginda Sultan atas kemangkatan Al-Marhum DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim.
“Kami memohon semoga Allah SWT memberikan belas kasihan dan keampunan kepada Al-Marhum dan menjadikan Al-Marhum penghuni syurga-Nya yang luas,” tambah Tuan Yang
Terutama.
Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kesultanan Oman ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Sheikh Ahmed bin Hashil Al-Maskari dan bagi pihak Kedutaan Kesultanan Oman turut menyembahkan ucapan simpati dan takziah yang mendalam kehadapan majlis Baginda Sultan.
Tuan Yang Terutama mendoakan semoga Allah SWT mencucuri Al-Marhum DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim dengan rahmat dan ketenangan serta memberikan kesabaran dan ketabahan kepada Baginda Sultan dan kerabat Baginda serta rakyat Negara Brunei Darussalam.
Turut menyembahkan ucapan takziah ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Persekutuan Rusia ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Vladimir Goncharenko dan Duta Besar dan Mutlak Republik Kesatuan Myanmar ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama U Htin Lynn.