Perwakilan, rakan zahir ucapan takziah

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Kedutaan Amerika Syarikat di Negara Brunei Darussalam

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JUN – Pemergian Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Matthew J Matthews pada 20 Mei lalu turut dirasai semua pegawai dan kakitangan Kedutaan AS di Negara Brunei Darussalam serta rakan dan perwakilan dari negara sahabat.

Sehubungan dengan itu, bagi mengingati pemergiannya, menteri-menteri kabinet Negara Brunei Darussalam, perwakilan-perwakilan dari negara-negara sahabat serta rakan-rakan menzahirkan ucapan takziah mereka dengan menandatangani buku takziah bagi mendiang TYT Matthew J Matthews di Kedutaan AS di Negara Brunei Darussalam, hari ini.

Kehadiran perwakilan-perwakilan negara-negara sahabat di kedutaan berkenaan telah dialu-alukan oleh para pegawai dan kakitangan kedutaan berkenaan.

Mewakili kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi menandatangani buku takziah itu ialah Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Dato Paduka Haji Mohd Nor bin Haji Jeludin.

Mendiang TYT Matthew J Matthews meninggal dunia pada 20 Mei lalu dan menurut Kedutaan AS di Negara Brunei Darussalam, beliau telah menyembahkan surat tauliah pelantikan kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada 15 April 2019.

Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan menteri-menteri kabinet lain tidak ketinggalan menzahirkan ucapan takziah mereka atas pemergian Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Matthew J Matthews pada 20 Mei lalu, dengan menandatangani buku takziah di Kedutaan AS di Negara Brunei Darussalam, kelmarin.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud menandatangani buku takziah bagi mendiang TYT Matthews.
Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman menandatangani buku takziah bagi mendiang TYT Matthews.
Duta Besar Republik Filipina ke Negara Brunei Darussalam, TYT Christopher Montero menandatangani buku takziah bagi mendiang TYT Matthews.
Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad menandatangani buku takziah bagi mendiang TYT Matthews.
Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, PYT Nicola Rosenblum menandatangani buku takziah bagi mendiang TYT Matthews.

Sepanjang tempoh ber-khidmat sebagai Duta Amerika Syarikat ke Negara Brunei Darussalam, mendiang amat menitikberatkan pengukuhan hubungan di antara rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam dan AS dengan penekanan kepada tema bagi Sambutan Hari Kemerdekaan AS 2019 serta pentingnya program-program pertukaran seperti Fulbright dan YSEALI.

Beliau juga berusaha mengembangkan lagi kerjasama ekonomi dua hala dan sekuriti yang diketengahkan menerusi Eksais CARAT ke-25 pada 2019. Di samping itu, beliau sering kali menyatakan bahawa perkara yang amat digemarinya ketika bertugas di Brunei ialah peluang untuk berkunjung ke rumah rakan-rakannya, bertemu bersama keluarga mereka dan menikmati pelbagai hidangan yang lazat.

Mendiang TYT Matthew J Matthews juga gemar meneroka pelbagai jenis makanan yang terdapat di Brunei dan sering kali berkongsi pengalaman mengenai penemuan makanan dan restoran baharu dengan rakan-rakannya.

Beliau juga mula untuk menyertai kegiatan menyelam ketika di Brunei dan memperoleh sijilnya di sini serta turut gemar membaca mengenai sejarah termasuk meneroka kisah mengenai hubungan awal di antara Brunei dan AS.

Selain itu, beliau juga gemar untuk berkongsi budaya masyarakat AS dengan rakyat dan penduduk Brunei menerusi peluang untuk mempersembahkan serta membawa pelbagai kumpulan kebudayaan untuk membuat persembahan di Brunei termasuk The Henhouse Prowlers, The Daniel Ho Group dan US Navy’s Seventh Fleet Band.

Beliau juga amat menggemari peluang berjumpa dan berinteraksi dengan murid-murid serta belia muda Brunei menerusi lawatan ke sekolah-sekolah dan organisasi-organisasi belia.

Sebelum ditugaskan sebagai Duta Besar AS ke Negara Brunei Darussalam, mendiang pernah bertugas di Beijing, Republik Rakyat China; Kuala Lumpur, Malaysia; Canberra, Australia dan New Zealand.

Mendiang meninggalkan seorang isteri, Rachel, dua orang anak, Kristen dan Daniel, seorang menantu, Elizabeth dan seorang cucu, Emilia, yang menetap di Amerika Syarikat.

Bagi rakan-rakan yang ingin memberi penghormatan terakhir mereka kepada mendiang, penandatanganan buku takziah masih dibukakan di Kedutaan AS di Negara Brunei Darussalam.