PERWIRA bertahlil di Kubah Makam Diraja

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Mei – Sebagai salah satu kegiatan keagamaan dalam bulan Ramadan yang penuh berkah ini, Persatuan Veteran Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (PERWIRA) telah mengadakan Majlis Membaca Surah Yasin dan Tahlil bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit di Kubah Makam Diraja, hari ini.

Hadir pada majlis itu ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yusof, Penasihat PERWIRA, Yang Amat Mulia Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Ba’asith bin Pengiran Datu Penghulu Pengiran Haji Apong dan Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Seri Dewa Mejar Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Mohammad bin Haji Daud serta Yang Di-Pertua PERWIRA, Yang Dimuliakan Pehin Datu Padukaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Shari bin Ahmad.

Juga hadir ialah para mantan pemerintah ABDB iaitu Yang Dimuliakan Pehin Datu Harimaupadang Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Husin bin Ahmad, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Lela Pahlawan Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Mohd Jaafar bin Haji Abdul Aziz dan Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah, para mantan pegawai kanan ABDB serta ahli-ahli PERWIRA.

Acara khatamal dan bertahlil telah dipimpin bersama oleh Pegawai Agama Jabatan Agama ABDB (JAMA’AT), Haji Zaini bin Haji Mohammad.

Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua ketika menyertai tahlil di Kubah Makam Diraja, kelmarin.