Oleh Fadhil Yunus
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 FEB – MS ABDB Perwira melakar kemenangan pertama Liga Futsal Brunei (BFL) musim 2023 selepas menewaskan Shah United 2-0 di Kompleks Sukan Universiti Brunei Darussalam (UBD) di Jalan Tungku Link kelmarin.
Pemain yang terdiri daripada anggota tentera itu mendahului perlawanan menerusi jaringan daripada Mohamad Rosaiman bin Haji Rosaidi pada minit ke-15 sebelum Awangku Khairul Bahri bin Pengiran Adruman menggandakan kedudukan tiga minit sebelum masa tamat.
Dalam perlawanan lain, GG-Indera SC mengejutkan Arbisyam dengan kemenangan 2-0 hasil jaringan Mohammad Azri bin Dumin dan Mohammad Hazlantul Khairul Zaman bin Haji Osman.
Persaingan yang bermula Jumaat lalu akan diteruskan dengan Almerez FC menentang Qahar FT awal esok.
Perlawanan kedua esok akan menyaksikan DDT FT menentang BIBD SRC di tempat yang sama.
Terdahulu dalam pertandingan itu, Kasuka & Ar Rawda mengutip tiga mata penuh semasa aksi kemenangan 5-3 ke atas PES.
Pada musim 2021, pertandingan telah dihentikan selepas negara dilanda gelombang kedua jangkitan COVID.
