Pesakit asimptomatik mungkin penyebab jangkitan

KUALA LUMPUR, 17 JUN – Rumah Perlindungan Orang Tua, Pertubuhan Sukarelawan Agensi Bantuan Selangor (SRA) hari ini menafikan penularan wabak di rumah penjagaan itu dan percaya punca jangkitan seperti yang diumumkan Isnin lepas berpunca daripada seorang penghuninya, yang merupakan pesakit asimptomatik (tanpa simptom atau gejala) COVID-19.

Pengerusinya, Sharil Hussein berkata beliau percaya jangkitan berlaku apabila terdapat kontak rapat antara seorang penghuni lelaki berusia 51 tahun, yang pulih COVID-19 dan dibenar keluar Hospital Sungai Buloh pada 3 Jun dan seorang lagi penghuni yang berada di hospital sama bagi masalah hipertensi.

“Kedua-duanya menaiki ambulans yang sama ketika dihantar pulang ke rumah penjagaan. Jadi berlaku kontak rapat,” katanya kepada Bernama.

Pada Isnin, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata seorang lelaki berusia 69 tahun diuji positif virus itu selepas dimasukkan ke Hospital Tanjung Karang bagi masalah pernafasan.

Beliau berkata kes baharu itu adalah sebahagian daripada kluster yang dikesan di rumah perlindungan orang tua, yang sebelum ini mengesan dua kes, melibatkan seorang penghuni dan penjaga kepada pesakit itu, pada Mei. – Bernama