Pesakit beri amaran bahaya Varian COVID-19

COACALCO, MEXICO – Ketika Diego mula keluar semula untuk bertemu teman-temannya, dia tidak pernah menyangka akan menjadi antara remaja Mexico yang semakin ramai dimasukkan ke hospital oleh varian COVID-19 yang sangat menular menyebabkan gelombang jangkitan lain.

“Saya yang kurang memikirkan bahayanya berasa saya tidak akan dijangkiti, tetapi pada akhirnya saya dijangkiti,” kata pelajar berusia 20 tahun itu kepada AFP di sebuah klinik swasta di pinggir bandar utara Bandaraya Mexico.

“Ini bukan jenaka. Ini penyakit yang sangat kejam,” kata Diego, yang tidak mahu memberikan nama penuhnya.

Dia merupakan salah seorang daripada 16 pesakit koronavirus yang dirawat di hospital yang sama di Coacalco. Tidak seperti semasa dua gelombang pertama wabak ini, kebanyakan orang sakit berusia 20an dan 30an.

Angka kematian rasmi COVID-19 Mexico lebih dari 244,000 adalah yang keempat tertinggi di dunia, dan angka sebenarnya dipercayai jauh lebih tinggi.

Kerajaan mengatakan itu sebahagian mencerminkan populasi negara yang besar, tetapi juga disebabkan oleh berlakunya masalah kesihatan sedia ada, termasuk kegemukan, darah tinggi dan diabetes.

Negara itu telah mendaftarkan hampir tiga juta kes yang disahkan sejak wabak itu bermula, di mana sekitar 138,000 masih aktif.

Tiada perintah berkurung

Pakar mengatakan gelombang jangkitan terbaharu disebabkan oleh kedatangan varian Delta, serta pengurangan jarak fizikal, terutama dalam kalangan orang muda Mexico.

Pihak berkuasa Bandaraya Mexico pada Jumaat lalu menolak untuk mengenakan tindakan perintah berkurung baharu, walaupun kementerian kesihatan meningkatkan status amaran ibu kota ke tahap tertinggi.

“Sekarang ini nampaknya kerajaan atau siapa pun tidak berminat membuat orang tinggal di rumah lagi,” kata Jesus Victoria, ketua jururawat di hospital di Coacalco.

Walaupun orang berusia antara 18 dan 29 tahun mula diberi vaksin pada akhir Julai, namun sudah terlambat bagi sebilangan pesakit di klinik, katanya.

Seorang jururawat meletakkan serum di Hospital Polanco Coacalco. – AFP

Seorang doktor membuat catatan di Unit Rawatan Rapi untuk pesakit COVID-19. – AFP
Pembantu perubatan Sandra Tepale (kiri) dan ketua jururawat, Jesus Victoria, ditemui pemberita. – AFP
Pesakit COVID-19, Mayra Jimenez ditemui semasa wawancara bersama AFP di Hospital Polanco Coacalco di perbandaran Coacalco, Bandaraya Mexico. – AFP

“Kami berjaya merawat sebahagian besar daripada mereka, tetapi kami juga mempunyai banyak kematian di kalangan orang muda,” kata Victoria.

“Saya tidak tahu apakah sebagai masyarakat kita gagal, apakah kerajaan gagal. Pusat membeli-belah terbuka, pawagam, pusat sukan. Ini merumitkan keadaan,” tambahnya.

Berkat vaksinasi, kemasukan ke hospital masih jauh di bawah puncak yang dilihat pada bulan Januari ketika orang diasingkan meningkat di atas 90 peratus.

Sekarang sekitar separuh tempat tidur umum dan 58 peratus dari mereka dilengkapi dengan ventilator sudah tersedia, menurut kerajaan.

Hampir 50 juta orang di negara yang berjumlah 126 juta penduduk telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin koronavirus, dan 27 juta daripadanya diberi vaksin sepenuh-nya, kata kementerian kesihatan.

Hector Lopez, seorang programmer komputer berusia 26 tahun yang juga dirawat di hospital untuk COVID-19, mengatakan keluarganya tidak cukup berhati-hati.

“Biasanya saya tidak keluar. Masalahnya ialah kerabat saya melakukannya,” katanya.

“Saya telah mengurus diri sendiri. Saya tidak keluar kecuali jika perlu,” tambahnya, ketika mesin memantau tanda-tanda pentingnya.

Lopez, yang dijangka dibenarkan keluar segera, mengatakan dia telah melihat di media sosial ramai rakan-rakannya dibenarkan keluar, walaupun ada risikonya.

“Sangat mudah untuk melihat mereka berada di bar atau di pesta seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku,” katanya.

Mayra Jimenez, pesakit lain, percaya bahawa varian Delta sangat menular sehingga sesiapa sahaja yang mengelak dari dijangkiti tanpa merawat lebih beruntung.

“Kami tidak pergi ke pesta atau perjum-paan,” kata pemuda berusia 39 tahun itu, yang menggunakan alat perubatan untuk membantu paru-parunya pulih.

“Nasib baik saya dapat mengatasinya, tetapi ada orang lebih teruk,” katanya. – AFP