Pesakit COVID-19 di ICU alami kesan berpanjangan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Sebilangan besar iaitu kira-kira 80 peratus pesakit COVID-19, tidak mengalami gejala dan sebahagiannya pula memerlukan pemantauan serta juga terdapat pesakit yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).

Bagi pesakit yang dimasukkan ke ICU, didapati hampir kesemua mereka menghadapi masalah paru-paru yang rosak akibat penularan COVID-19 dan disebabkan mereka berada lama di ICU serta kerosakan paru-paru berkenaan, walaupun mereka sembuh tetapi kesan daripada COVID-19 itu, mungkin berterusan sama ada berminggu-minggu atau berbulan-bulan terutama pada paru-paru mereka.

Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar ketika menjawab persoalan mengenai kemungkinan kesan COVID yang berpanjangan serta kesan jangka panjang kepada pesakit COVID-19 yang sembuh semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Dato menerangkan lanjut bahawa mereka mungkin akan mengalami batuk yang akan sentiasa ada untuk beberapa masa serta juga kesukaran bernafas seperti dahulu jika mereka menaiki tangga tiga tingkat tidak mengalami masalah tetapi kini mungkin satu tangga atau setingkat pun mungkin mengalami kesukaran.

“Ini tertakluk kepada pemulihan paru-parunya sendiri, bagaimana paru-parunya itu dapat membaiki organnya sendiri.”

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham dan Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, semalam. – Gambar oleh Muiz Matdani

Selain daripada itu, tambah Yang Berhormat Dato, disebabkan berada lama di ICU seperti berminggu-minggu, pesakit juga akan mengalami kelemahan pada otot-otot mereka seperti sukar untuk berjalan di mana mereka memerlukan pemulihan yang mengambil masa yang lama sehingga berminggu-minggu atau berbulan-bulan.

Beliau berkata terdapat beberapa orang pesakit yang telah dikeluarkan dari ICU masa ini, perlu pergi ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha untuk meneruskan pemulihan mereka di hospital berkenaan.

Yang Berhormat Dato berkata bahawa ia merupakan satu masalah tetapi amat bersyukur kerana mereka dapat sembuh daripada COVID-19.

Walau bagaimanapun kesan sampi-ngan jangkitan dan gejala-gejala itu menyebabkan mereka memerlukan masa yang lebih untuk kembali seperti sedia kala tanpa mengambil kira usia mereka.

Ulas beliau lagi, “Ia adalah bergantung seteruk mana gejala yang dihadapi mereka.

“Tanpa mengira usia, jika mereka lama berada dalam ICU, ia akan mengambil tempoh lebih setahun untuk mengembalikan tenaganya semula seperti sedia kala. Ada juga yang mengalami masalah buah pinggang yang memerlukan dialisis untuk beberapa waktu dan ada sebahagian akan berterusan seumur hidup.”

Yang Berhormat Dato menerangkan lagi bahawa tiga kesan yang mungkin dialami oleh pesakit ialah kesukaran bernafas, lemah otot dan dialisis.