VIENTIANE, 19 JAN – Pihak berkuasa kesihatan Laos telah membatalkan sekatan ke atas pesakit-pesakit COVID-19 yang dibenarkan keluar dari hospital, membolehkan mereka untuk meneruskan kembali kehidupan tanpa perlu menjalani ujian mahupun isolasi, lapor media tempatan hari ini.
Langkah itu adalah sebahagian daripada perubahan yang dibuat oleh sektor kesihatan menuju cara hidup ‘normal baharu’ yang disusuli penurunan dalam bilangan kes baharu COVID-19 yang dilaporkan di negara itu.
Para pesakit yang dibenarkan keluar dari hospital yang masih mengalami masalah kesihatan boleh mendapatkan nasihat daripada seorang pakar perubatan atau menerusi talian kesihatan.
Kementerian Kesihatan negara itu telah merubah pendiriannya selepas menilai situasi terbabit, kata Sisavath Southaniraxay, timbalan ketua pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Berjangkit di bawah kementerian itu.
Southaniraxay berkata kementerian percaya orang awam dapat bertindak secara bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan mereka dan yang lain, menurut akhbar harian tempatan Vientiane Times.
Kementerian juga menasihatkan orang yang mengalami jangkitan bergejala atau simptom sederhana untuk berada di rumah bagi menjimatkan sumber perubatan untuk mereka yang mendapat jangkitan lebih serius.
Tambahan pula, pesakit COVID-19 di negara itu akan dinilai mengikut simptom mereka daripada sebaliknya ujian keputusan.
Kes bergejala boleh dibenarkan keluar hospital 10 hari selepas diuji positif tanpa memerlukan ujian selanjutnya, dan pesakit dengan simptom ringan boleh meninggalkan kemudahan kesihatan selepas 13 hari mereka tidak mengalami demam mahupun masalah pernafasan. – Xinhua