Pesakit COVID-19 diberi vaksin sebulan selepas sembuh

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Pesakit COVID-19 yang telah sembuh akan diberikan suntikan vaksinasi dalam tempoh sebulan ke dua bulan mereka disahkan sembuh, kerana semasa dijangkiti, mereka mempunyai tindak balas antibodinya sendiri.

Oleh itu, mereka tidak perlu diberikan vaksin semasa dijangkiti COVID-19 kerana mereka telah terdedah dengan virus tersebut. 

Mereka akan divaksinasi dalam tempoh sebulan ke dua bulan setelah sembuh disebabkan semasa pemberian suntikan vaksinasi tersebut ia akan menimbulkan kesan demam dan sebagainya kepada mereka yang mana boleh menjejaskan keselesaan para pesakit.

Perkara tersebut dijelaskan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan turut menjelaskan bahawa selang masa pemberian vaksinasi tersebut adalah supaya tidak memudaratkan mereka yang baru sahaja pulih daripada jangkitan COVID-19.