Pesakit COVID-19 digesa patuhi arahan pengasingan diri di rumah

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OKT – Sejak Dasar Pengasingan di Rumah (Home Isolation Policy) bagi pesakit-pesakit COVID-19 dimulakan pada 8 Oktober 2021, seramai 507 orang pesakit dalam Kategori 1 dan Kategori 2a sedang menjalani pengasingan diri di rumah pada ketika ini.

Sehubungan itu, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar mengingatkan pesakit-pesakit tersebut untuk mematuhi arahan pengasingan diri di rumah dan memberikan kerjasama kepada pihak Kementerian Kesihatan apabila dihubungi.

“Pemantauan terhadap pesakit seperti melalui panggilan telefon adalah untuk pihak

Kementerian Kesihatan memastikan para pesakit berada dalam keadaan yang baik dan simptom-simptom jangkitan yang mereka hadapi tidak menjadi lebih teruk,” jelasnya semasa sidang media di Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Dato juga menjelaskan bahawa kebenaran untuk menjalani pengasingan diri di rumah akan dibatalkan bagi sesiapa yang didapati tidak memberikan kerjasama semasa pemantauan dibuat dan mereka akan dibawa ke pusat-pusat pengasingan.