Pesakit COVID-19 lari akan didakwa di mahkamah

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 SEPT – Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar menegaskan bahawa kes pesakit COVID-19 lari dari pusat pengasingan telah ditangani oleh pegawai keselamatan dan sebaik saja disahkan negatif, mereka akan didakwa di mahkamah.

Yang Berhormat Dato memberitahu perkara itu ketika mengulas mengenai video tular tentang pesakit lari dari pusat pengasingan pada sidang media di Kementerian Kesihatan, hari ini.

Sementara itu, ditanya mengenai kapasiti pusat pengasingan, Yang Berhormat Dato berkata bahawa pada masa ini, 70 peratus kapasiti pusat pengasingan telah digunakan daripada pusat yang sedia ada tetapi masih ada sebuah pusat pengasingan belum digunakan.

Jumlah keseluruhan pusat pengasingan COVID-19 yang sedia ada pada masa ini dapat menampung 3,000 orang, ujarnya.

Menurut beliau, pesakit kategori 1 mungkin akan diminta untuk menjalani pengasingan di kediaman masing-masing jika tempat mereka bersesuaian tetapi masa ini, pihak kementerian masih menyarankan mereka menjalani pengasingan di pusat pengasingan untuk memudahkan pengawalan.