Pesakit COVID-19 meninggal dunia akibat masalah jantung

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OGOS – Seorang lagi pesakit yang disahkan dijangkiti COVID-19 kembali ke rahmatullah hari ini, namun pesakit tersebut tidak dikategorikan sebagai kematian disebabkan COVID-19 kerana meninggal dunia akibat masalah jantung atau congestive cardiac failure.

Berita tersebut dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, bertempat di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

“Allahyarham ialah seorang lelaki tempatan berumur 56 tahun yang merupakan Kes 1379 di Negara Brunei Darussalam dan telah dimasukkan ke Pusat Pengasingan Kebangsaan pada 22 Ogos 2021,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Sehubungan itu, demi menjaga confidentiality dan menghormati privasi keluarga Allahyarham, Kementerian Kesihatan tidak mengongsikan butiran peribadi Allahyarham.

Semasa pengumuman tersebut, Yang Berhormat Dato juga memohon orang ramai untuk sama-sama menghormati dan tidak menyebarkan maklumat-maklumat berkaitan dengan Allahyarham.

“Di kesempatan ini, saya mewakili warga Kementerian Kesihatan dan keseluruhan rakyat Negara Brunei Darussalam mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan berdoa semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama para syuhada,” tambah beliau.