Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MAC – Pesakit COVID yang sudah pulih dan disahkan negatif tidak perlu menjalani Perintah Kuarantin sekali lagi dan juga tidak dikehendaki untuk mengisytiharkan bahawa ia sebagai kontak rapat sekiranya terdapat ahli keluarga yang pada ketika itu berada dalam Perintah Kuarantin didapati positif.
Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar menjelaskan perkara itu ketika menjawab persoalan mengenai situasi kebenaran keluar rumah bagi pesakit COVID yang sedang menjalani pengasingan dan telah pun disahkan sembuh dan menerima keputusan negatif menerusi ujian pantas antigen (ART) namun pada masa yang sama terdapat ahli keluarga terdekat yang lain dijangkiti, semasa sidang media di Kementerian Kesihatan, petang tadi.
Jelasnya, tujuan Perintah Kuarantin adalah untuk mencegah penularan dalam lingkungan rumah.
“Dalam hal ini, ahli keluarga terdekat lain yang berada di bawah Perintah Kuarantin pada ketika itu diperlukan untuk memperbaharui Perintah Kuarantin mereka selama lima hari sekali lagi dari mula,” tekan Yang Berhormat Dato lagi.