Pesakit HK terima darah penderma dijangkiti virus

HONG KONG, 13 JULAI – Pihak berkuasa Hong Kong hari ini berkata seorang pesakit telah menerima darah daripada seorang penderma yang kemudian telah diuji positif koronavirus.

Para pegawai bergelut untuk mengesan apa yang berlaku kepada darah itu selepas seorang lelaki yang menderma darah pada 5 Julai kemudian didapati membawa virus terbabit.

“Perkhidmatan pemindahan darah telah mengesan darah yang lelaki berkenaan dermakan dan setakat ini pesakit di Hospital Queen Elizabeth itu menerima pemindahan platelet,” kata Lau Ka-hin dari Pihak Berkuasa Hospital bandar itu memberitahu wartawan.

Bagaimanapun, masih belum jelas jika penerima lelaki berusia 35 tahun itu telah dijangkiti virus terbabit.

“Pesakit yang menerima transfusi darah tersebut telah dipindahkan ke wad isolasi dan masih diuji ketika hospital masih lagi membuat tindakan susulan ke atas kes itu,” kata Lau, menambah pesakit itu juga menghidap penyakit kronik. – AFP