Pesakit jantung disahkan positif COVID-19 meninggal dunia

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OGOS – Seorang pesakit disahkan positif COVID-19 telah kembali ke rahmatullah hari ini, namun pesakit itu tidak dikategorikan dalam kematian COVID-19 kerana meninggal dunia akibat serangan jantung. Berita sedih itu disampaikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

“Allahyarham ialah seorang lelaki tempatan berumur 70 tahun yang merupakan Kes 849 di Negara Brunei Darussalam dan telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi pada malam 19 Ogos 2021 disebabkan serangan jantung dan tidak dikategorikan sebagai kematian disebabkan COVID-19,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Sehubungan itu, demi menjaga confidentiality dan menghormati privasi keluarga Allahyarham, beliau tidak mengongsikan butiran peribadi Allahyarham.

“Orang ramai juga dipohonkan untuk sama-sama menghormati dan tidak menyebarkan maklumat-maklumat berkaitan dengan Allahyarham,” saran Yang Berhormat Dato.

“Di kesempatan ini, saya mewa-kili warga Kementerian Kesihatan dan keseluruhan rakyat Negara Brunei Darussalam mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan berdoa semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama para sallehin,” tambah beliau.