Pesakit Kanser di Gaza berdepan kesukaran terima rawatan

GAZA – Apabila berdiri di hadapan sebuah bangunan hijau di Gaza, anda akan terkejut melihat kesakitan pada muka pesakit kanser yang ada di sana.

Bangunan yang dikenali sebagai Hospital Pediatrik Al-Rantisi, merupakan satu-satunya hospital di semenanjung Gaza yang menyediakan rawatan untuk pesakit kanser.

Walau bagaimanapun, penderitaan yang dialami oleh pesakit dilihat semakin teruk berikutan dengan kekurangan peralatan, ubat-ubatan dan bekalan perubatan disebabkan oleh sekatan Israel yang dikenakan kepada Gaza selama lebih daripada 13 tahun.

Hospital tersebut telah merawat lebih daripada 8,515 pesakit kanser. Dalam masa dua tahun yang lalu, para pesakit perlu menunggu selama beberapa minggu atau berbulan-bulan sebelum mereka boleh mendapat rawatan kemoterapi.

Semasa proses rawatan yang sukar, berbebelas-belas pesakit meninggal dunia, manakala yang lain masih menanti nasib mereka yang tidak diketahui, kata pakar perubatan di sana.

Reaksi seorang kanak-kanak Palestin yang menghidapi kanser apabila menerima rawatan di Hospital Pediatrik Al-Rantisi, di kota Gaza. –Xinhua
Seorang kanak-kanak Palestin mendapatkan rawatan di Hospital Pediatrik Al-Rantisi, di kota Gaza. – Xinhua

Apabila mereka sudah siap melakukan rawatan kemoterapi, mereka perlu meneruskan terapi mereka ke radioterapi, bahagian yang paling sukar dalam rawatan ini, kata para pegawai perubatan tetapi mereka tidak mempunyai rawatan radioterapi di Gaza. Kesemua pesakit perlu menjalani rawatan tersebut ke hospital-hospital di luar bandar.

Abed Alsalam Alastal, 12, merupakan salah seorang pesakit yang terpaksa pergi ke Israel untuk menjalani radioterapi. Kesihatannya semakin teruk disebabkan kekurangan rawatan perubatan di hospital Gaza dan prosedur perjalanan ke Israel yang sukar.

Dia berharap dapat kembali ke rumahnya dengan aman dan meneruskan kehidupannya seperti orang lain yang sihat.

“Saya merasa kesal… dan saya mahu kembali ke rumah dan bermain dengan kawan-kawan saya,” Alastal merayu kepada ayahnya.

Kedua-dua ibu bapa Alastal terkejut apabila doktor memberitahu bahawa anak mereka mempunyai penyakit limfoma.

“Saya mengorbankan masa untuk membantu membawa anak saya menjalani rawatan, namun kehidupan yang sukar di Gaza meng-halang saya,” Ahmed Alsatal, ayah kepada sembilan orang anak memberitahu Xinhua, sambil menambah, “Kami berdepan dengan kesukaran dalam prosedur dan lambat untuk menerima rawatan perubatan yang betul.”

Doktor memberitahu bahawa penyakit kanser tidak membunuh pesakit jika bekalan perubatan tersedia di Gaza, atau jika Israel membenarkan pesakit kanser menyeberangi sempadan Erez.

Setelah didiagnosis dengan kanser, pesakit di Gaza mungkin perlu menunggu beberapa bulan sebelum mendapat rawatan seterusnya.

Bagi mendapatkan permit untuk pergi ke pusat kesihatan di luar Gaza, ia boleh menjadi satu proses yang sangat susah dan mempunyai proses di luar jangkaan, di mana banyak pesakit perlu memohon berulang kali sebelum dapat permit tersebut.

Khalil Albasyouni, 5 tahun, telah ditolak permohonannya beberapa kali oleh pihak berkuasa Israel untuk merentas sempadan.

Albasyouni, yang menghidapi penyakit Limfoma, telah tinggal di hospital selama sembilan bulan dan mendapatkan kemoterapi di Gaza, namun baru-baru ini rawatannya telah diberhentikan disebabkan krisis yang melanda jabatan kesihatan di Gaza, kata neneknya.

“Apabila anak kamu didiagnosis dengan kanser, ia merupakan satu saat yang paling sukar dan ia memerlukan kekuatan fizikal dan mental bagi sebuah keluarga,” Samiha Albasyouni, 63, memberitahu Xinhua.

“Saya tidak tahu kenapa kami tidak dibenarkan masuk ke Israel. Saya seorang wanita yang tua dan Khalil hanyalah budak kecil,” katanya, “Jika khalil berterusan tinggal di sini, saya khuatir dia akan meninggal dunia seperti pesakit lain,” tambahnya.

Samah Awad, 45, menghidapi kanser kolon. Pada kebiasaannya dia datang ke hospital empat kali sebulan untuk mendapatkan kemoterapinya. Selepas dua bulan, dia masih menunggu untuk radioterapinya namun telah ditolak oleh pihak hospital Israel.

“Kanser tidak akan membunuh saya, namun politik masa kini akan membuat saya terbunuh,” katanya.

Israel telah mengenakan sekatan yang ketat ke atas Semenanjung Gaza sejak 2007 lagi, yang menjejaskan semua aspek kehidupan di Gaza. “Di sini kami tidak dapat menjalankan rawatan Radioterapi,” Kata Khaled Thabit, ketua Jabatan Onkologi di Hospital Al-Rantasi.

Thabit menambah, jumlah pesakit kanser meningkat dengan ketara berbanding tahun sebelumnya. Dia berpendapat perubahan demografi yang cepat, penggunaan racun serangga yang berlebihan dan sisa peperangan kimia antara tiga faktor di sebalik berlakunya peningkatan dalam jumlah pesakit kanser di Gaza. – Xinhua