Friday, December 6, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pesakit kanser dinobat juara Kilauan Emas 2024

    Menepati ramalan, peserta Gie diumumkan sebagai juara program Kilauan Emas 2024, sekali gus mengalahkan lima peserta lain yang bertanding, baru-baru ini.

    Atas kemenangan itu, Gie yang juga sedang berjuang dengan penyakit kanser berjaya membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM30,000.

    “Terima kasih kepada semua yang tak jemu menyokong saya. Walaupun abang (suami) tak ada di sini, ayang (saya) dapat juara,” katanya.

    Juri, Edry Abdul Halim menggambarkan teknik vokal Gie sebagai salah satu keajaiban dalam program ini.

    “Gie ada teknik menggunakan suara. Inilah keajaiban Kilauan Emas. Ia sesuatu yang indah,” katanya.

    Gie berjaya membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM30,000. – Kosmo

    Di pentas akhir Kilauan Emas 2024, Gie mempersembahkan lagu Kau Pergi Tanpa Pesan dalam segmen solo dan Jangan Menangis Sayang dalam segmen duet bersama Sidi.

    Tempat kedua dimenangi oleh Sidi dan berjaya membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM10,000, trofi, pakej umrah dan pakej percutian.

    Tempat ketiga dimenangi oleh Ina dan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, trofi, pakej umrah dan pakej percutian.

    Tiga peserta lain, Sue, Wan dan Ron masing-masing hanya mampu berpuas hati di tempat keempat, kelima dan keenam dan membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, trofi dan pakej percutian.

    Selain bergelar juara, Gie juga turut memenangi Anugerah Emas Berkilau of the Week.

    Kilauan Emas 2024 dihoskan oleh gandingan pengacara Elly Mazlein dan Joey Daud.

    Kerusi juri tetap dibarisi Datuk Hattan dan Erra Fazira, manakala Edry sekali lagi duduk di kerusi juri jemputan.

    Selain persembahan peserta, penonton turut dihiburkan dengan persembahan ‘medley’ oleh peserta The Chosen One dan persembahan penutup oleh Fauziah Latiff dan Ramlah Ram. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda