Pesakit kedua Ebola maut

BWERA, UGANDA, 13 JUN – Seorang wanita berusia 50 tahun yang diuji positif menghidapi Ebola di Uganda telah meninggal dunia, beritahu pegawai kementerian kesihatan hari ini, kematian kedua sejak virus tersebut merebak dari negara jiran Republik Demokratik Congo.

“Si mati disahkan sebagai nenek kepada budak lelaki berusia lima tahun yang meninggal dunia. Kedua-dua mangsa telah menghadiri pengebumian seorang pesakit Ebola di Congo, tetapi pulang ke Uganda,” beritahu pegawai kepada AFP dengan syarat namanya tidak disiarkan.

Pengaturan telah dilakukan untuk mengebumikan wanita itu di Kasese, daerah di barat Uganda berhampiran dengan sempadan DRC, tambah pegawai.

Kementerian kesihatan mengumumkan semalam bahawa Uganda telah mencatat tiga kes jangkitan Ebola dalam penyebaran pertama antara sempadan sejak wabak bermula di timur DRC pada Ogos lalu.

Ketiga-tiga mereka datang dari sebuah keluarga yang berkunjung ke DRC untuk menjaga seorang saudara, yang juga telah meninggal dunia akibat Ebola. – AFP

Orang awam yang melintasi sempadan perlu diambil suhu badan mereka untuk memeriksa gejala Ebola, di lintasan sempadan berhampiran Kasindi, timur Congo pada 12 Jun, dari bandar Uganda Bwera. – AP