Sunday, March 23, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pesakit kritikal beransur pulih

    Oleh Yusrin Junaidi

    Gambar oleh James Kon

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MAC – Satu kes kritikal koronavirus COVID-19 yang memerlukan bantuan pernafasan kini beransur pulih, ketika lima lagi kes terbaharu disahkan menjadikan jumlah keseluruhan kepada 88 orang dengan dua sudah pun sembuh di negara ini.

    Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar memaklumkan pemulihan kes kritikal dan statistik terbaharu itu pada Sidang Media Bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Menurutnya lagi, pesakit kritikal itu tidak lagi memerlukan bantuan mesin pernafasan manakala beberapa kes dalam pemantauan rapi juga telah beransur pulih. Hanya satu kes lagi dalam keadaan kritikal dan memerlukan bantuan mesin pernafasan, dua di bawah pemantauan rapi manakala selebihnya dalam keadaan baik.

    Beliau seterusnya menjelaskan jangkitan terbaharu, kes 84 berusia 32 tahun adalah kontak kerja kepada kes 69 yang mula bergejala pada 15 Mac lalu sementara kes 85 berusia 10 tahun adalah anak kepada kes 81 dan mula bergejala pada 21 Mac.

    Kes 86 dan 87 adalah kontak keluarga kes 63 yang tidak menunjukkan tanda-tanda jangkitan dan tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan ketika menyampaikan statistik terkini jangkitan COVID-19 di negara ini.

    Kes 88 pula adalah warga tempatan yang baru pulang dari United Kingdom ke negara ini pada 21 Mac 2020 dengan menaiki pesawat Royal Brunei BI004 (tempat duduk 10K) dan mula bergejala pada 19 Mac semasa masih berada di luar negara.

    Menurut Yang Berhormat Dato, pada ketika ini seramai 1,651 orang sedang menjalani kuarantin, mengikut Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204. Manakala seramai 200 orang lagi telah menamatkan tempoh kuarantin dan dalam keadaan yang baik. Sejak awal Januari 2020, sebanyak 3,011 ujian makmal bagi COVID-19 telah dijalankan.

    Beliau turut memaklumkan bahawa arahan pengasingan diri mandatori bagi semua penumpang yang tiba di negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei yang bermula pada 20 Mac 2020, turut merangkumi para pelawat dan pekerja asing yang dibenarkan tiba ke negara ini.

    Sehubungan itu, pertimbangan untuk menjalani pengasingan diri di rumah masing-masing adalah bagi mereka yang memenuhi syarat-syarat yang dikenakan oleh Kementerian Kesihatan.

    Ia termasuklah mempunyai bilik berasingan dengan kemudahan tandasnya tersendiri, memastikan rumah tidak mempunyai ahli-ahli keluarga yang berisiko tinggi, menandatangani surat perjanjian mematuhi Dasar Pengasingan Diri iaitu berada di dalam bilik dan tidak dibenarkan keluar selama 14 hari, dan menghadirkan diri bagi menjalani ujian makmal bagi COVID-19 di Kompleks Sukan, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dalam masa 24 jam selepas ketibaan.

    Mana-mana rakyat atau penduduk tetap Negara Brunei Darussalam yang memilih untuk tinggal di The Empire Brunei bagi menjalani pengasingan diri bolehlah terus menghubungi pihak hotel tersebut untuk membuat tempahan sendiri, yang mana akan dikenakan bayaran sebanyak $100 sehari bagi setiap seorang ($1,400 bagi 14 hari). Ini adalah atas pembiayaan sendiri dan bukan pembiayaan kerajaan.

    Kementerian Kesihatan sekali lagi turut mengingatkan orang ramai khususnya mereka yang telah dikeluarkan Perintah Kuarantin atau Notis Pengasingan Diri untuk mematuhi arahan yang telah diberikan, terutamanya tidak keluar dari rumah atau tempat kuarantin yang telah ditetapkan. Keberadaan mereka yang menjalani kuarantin atau pengasingan diri akan sentiasa dipantau oleh Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Pasukan Polis Diraja Brunei.

    Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 (pada bila-bila masa).

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda