Pesakit kritikal COVID-19 kembali ke rahmatullah

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JUN – Seorang lelaki tempatan berumur 67 tahun yang merupakan kes ke-122 positif COVID-19 telah kembali ke rahmatullah akibat virus itu semalam.

Perkara itu telah diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

“Kes ketiga yang kritikal telah kembali ke rahmatullah di Pusat Pengasingan Kebangsaan pada hari Isnin, 15 Jun 2020, jam 7:35 malam, yang mana Allahyarham telah menjalani rawatan di pusat tersebut sejak disahkan dijangkiti COVID-19 pada 28 Mac 2020.

“Allahyarham mula mengalami tanda-tanda jangkitan pada 23 Mac 2020 dan telah dimasukkan ke Unit Rawatan Intensif di pusat berkenaan pada 30 Mac 2020,” kongsi Yang Berhormat Dato.

Bagaimanapun, menurut Yang Berhormat Menteri Kesihatan lagi, Allahyarham telah didapati negatif bagi virus SARS-CoV-2 berterusan sejak 10 Mei lalu dan hanya berada di pusat itu untuk menerima rawatan perubatan intensif. Demi menjaga dan menghormati privasi keluarga Allahyarham, Yang Berhormat Dato juga tidak mengongsikan butiran peribadi Allahyarham dan memohon orang ramai untuk sama-sama menghormati dan tidak menyebarkan maklumat-maklumat berkaitan dengan Allahyarham serta keluarga beliau.

“Di kesempatan ini, saya mewakili warga Kementerian Kesihatan dan seluruh rakyat Negara Brunei Darussalam mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan berdoa semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Al-Fatihah,” katanya.