Monday, March 24, 2025
29.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pesakit OCD perlu dibantu

    OBSESI Kompulsif atau Obsessive Compulsive Disorder (OCD) ialah ketidakcelaruan perasaan yang memerangkap fikiran dan perangai pesakit dalam kitaran yang tidak berakhir. Senang kata, mereka suka melakukan sesuatu perkara secara berulang-ulang kerana merasakan apa yang dilakukan sebelum ini tidak sempurna atau lengkap. Jika tidak dilakukan secara berulang, mereka akan berasa resah , tertekan dan cemas.

    Kitaran OCD (melakukan kerja secara berulang-ulang) ini boleh mengambil masa selama berjam-jam dan hal ini mengganggu aktiviti harian penghidap OCD. Penghidap OCD sebenarnya sedar akan obsesi dan pengulangan yang mereka lakukan namun mereka tidak mampu untuk memberhentikannya.

    Ciri-Ciri OCD

    Sebelum seseorang individu dilabelkan mengidap OCD, mereka perlu menepati kriteria seperti berikut:-

    – Orang itu obsesional dari aspek pemikiran, bayangan atau cara yang bertubi-tubi (rumination), contohnya dia merasa tangannya kotor walaupun hakikatnya tidak.

    – Individu terbabit berada dalam keadaan resah, cemas, tertekan dan merasa tidak selesa dengan keadaan ini.

    Individu yang tergolong dalam kumpulan OCD ini biasanya sering berkeadaan seperti kemurungan, sedih, kurang selesa, cepat letih, berat badan menurun, cepat marah dan tidak menghiraukan aspek pengurusan diri seperti kebersihan atau kecantikan. – Gambar hiasan

    – Sedar dan apa yang berlaku sebenarnya bukan sesuatu yang sengaja dibaut-buat tetapi datang dari luar ‘ego alien’ pada dirinya.

    – Individu tersebut tahu bahawa idea atau bayangan yang hadir dalam dirinya itu adalah karut, tidak logik dan tidak sepatutnya berlaku.

    – Melawan dan menahan idea yang datang serta menyebabkan dirinya menjadi resah.

    Pemikiran atau bayangan ruminasi obsesional ini boleh dibahagikan kepada sama ada:-

    1. Was-was.

    2. Kebersihan.

    3. Melakukan sesuatu secara perlahan-lahan (slowness).

    Biasanya disusuli dengan tindakan kompulsif atau perbuatan yang dilakukan berulang kali. Individu yang mempunyai kesemua ciri-ciri ini biasanya cepat marah, mudah tersinggung di mana fungsi sosial mereka menjadi tidak terurus.

    Malah, tumpuan fikiran mereka juga sering terganggu mengakibatkan hubungan sosial dengan orang lain dan keluarga sering menimbulkan masalah. Individu yang tergolong dalam kumpulan ini biasanya sering berkeadaan seperti:-

    – Kemurungan.

    – Sedih.

    – Kurang selesa.

    – Cepat letih.

    – Berat badan menurun.

    – Cepat marah.

    – Tidak menghiraukan aspek pengurusan diri seperti kebersihan atau kecantikan.

    Sekiranya pesakit berhadapan dengan konflik, simptom OCD ini boleh berubah dari segi keterukannya di mana ia boleh menjadi lebih serius. Bagaimanapun, sekiranya masalah atau konflik yang dihadapi dapat diatasi dengan cara yang baik, simptom-simptom ini akan berkurangan.

    Adakalanya simptom-simptom yang terdapat pada OCD boleh didapati pada penderita-penderita penyakit mental lain seperti skizofrenia, manik depresif, psikosis, kemurungan, penyakit mental organik dan lain-lain.

    Simptom-simptom

    Simptom OCD ialah seseorang itu obses dengan perkara-perkara berikut:

    – Takut kekotoran atau pencemaran oleh kuman.

    – Takut menyebabkan kecederaan atau mudarat kepada orang lain.

    – Takut membuat kesilapan.

    – Takut dimalukan atau bertindak seperti tidak diterima oleh masyarakat.

    – Takut memikirkan benda buruk, teramat resah memikirkan perbuatan jahat yang pernah dilakukan.

    – Terlalu mementingkan susunan, simetri, ketepatan dan kesempurnaan.

    – Perasaan was-was dan curiga yang kuat terhapat orang lain atau sesuatu perkara dan memerlukan jaminan yang mantap untuk percaya.

    Pengulangan yang akan dilakukan penghidap OCD

    – Mandi, membasuh tangan dan bersiram berulang-ulang.

    – Menolak untuk berjabat tangan, memegang tombol pintu, pemegang eskelator dan punat lif.

    – Pengulangan memeriksa perkara seperti kunci, dapur gas dan paip air.

    – Suka mengira di dalam hati atau secara kuat semasa melakukan tugas rutin seperti ketika menaiki tangga.

    – Menyusun barangan dalam susunan tertentu secara tetap.

    – Makan mengikut turutan.

    – Fikiran terperangkap dengan imej, kata-kata dan sesuatu pendapat sehingga mengganggu tidur.

    – Mengulangi perkataan, frasa atau doa tertentu.

    – Mesti melakukan tugasan secara berulang dalam bilangan tertentu.

    – Mengumpul barangan yang tiada nilai.

    Penyebab OCD

    Walaupun penyebab tepat OCD tidak difahami sepenuhnya, namun kajian menunjukkan kombinasi faktor biologi dan persekitaran terlibat:

    – Faktor biologi

    Otak mengandungi neuron yang mesti berhubung supaya badan boleh berfungsi dengan baik. Neuron berhubung melalui signal elektrik. Bahan kimia tertentu dinamai neurotransmitter menolong menggerakkan mesej elektrikal dari satu neuron ke satu neuron. Kajian menunjukkan kaitan antara kekurangan pengeluaran neurotransmitter jenis serotonin dengan perkembagan OCD. Ada juga bukti mengatakan ketidakseimbangan serotonin boleh diwariskan oleh ibu bapa kepada anak mereka. Ini bermakna, perkembangan OCD boleh diwarisi.

    Tambahan pula, ada bahagian-bahagian otak yang mendapat kesan akibat ketidakseimbangan serotonin yang boleh mengakibatkan OCD. Ini menjejaskan laluan dalaman otak yang melibatkan proses penilaian, perancangan dan juga kawasan otak yang menapis mesej elektrikal yang melibatkan pergerakan badan.

    Kajian juga menunjukkan kaitan antara jangkitan bakteria Streptococcus dengan OCD. Jangkitan ini jika berlaku tetapi tidak dirawat boleh mengkibatkan perkembangan OCD dan lain-lain masalah terhadap kanak-kanak atau individu.

    – Faktor persekitaran

    Sebahagian faktor persekitaran boleh menjadikan OCD lebih teruk:

    – Penderaan.

    – Perubahan situasi hidup.

    – Kehilangan orang tersayang.

    – Masalah di sekolah atau tempat kerja.

    – Kerisauan dalam perhubungan.

    Faktor-faktor yang meningkatkan risiko seseorang mendapat OCD

    1. Genetik (keturunan )

    Ahli keluarga yang mungkin mempunyai sejarah penyakit ini meningkatkan lagi risiko OCD.

    2. Organik

    Masalah organik seperti lesi di bahagian-bahagian tertentu otak juga merupakan satu faktor bagi OCD. Masalah saraf seperti yang disebabkan oleh meningitis dan enkefalitis juga adalah salah satu penyebab OCD.

    3. Personaliti

    Mereka yang mempunyai personaliti obsesif lebih cenderung mendapat gangguan OCD. Ciri-ciri mereka yang memiliki personaliti ini ialah seperti keterlaluan mementingkan aspek kebersihan, seseorang yang terlalu patuh pada peraturan, cerewet, sukar bertolak ansur dan tidak mudah mengalah.

    4. Pengalaman lalu

    Pengalaman masa lalu atau lampau juga muda mencorakkan kaedah seseorang menangani masalah diantaranya dengan menunjukkan simptom OCD.

    5. Konflik

    Mereka yang mengalami gangguan ini biasanya menghadapi konflik jiwa yang berpunca daripada apa juga masalah hidup. Contohnya hubungan antara suami-isteri, di tempat kerja, keyakinan diri, ketuhanan atau ada sahaja yang boleh mencetuskan konflik dalam diri. Namun konflik ini tidak dapat dileraikan dengan cara yang positif atau betul menyebabkan mereka berasa tertekan dengan konflik tersebut. Dengan erti kata lain, apa juga tekanan, peristiwa atau tragedi yang boleh mencetuskan tekanan akan menimbulkan simptom-simptom OCD.

    Kekerapan OCD

    Ketidakcelaruan ini mula-mula dapat dilihat semasa zaman kanak-kanak, remaja dan awal dewasa. Ia berlaku kepada lelaki dan perempuan dan boleh menjangkiti individu tidak kira bangsa atau latar belakang sosio ekonomi.

    Bagaimana OCD boleh didiagnos?

    Tiada ujian makmal untuk mendiagnos OCD. Doktor mengenalpasti keadaan penghidap melalui simptom-simptom yang dialami termasuk berapa banyak masa individu tersebut melakukan rutin OCDnya.

    Rawatan

    1. Ubat-ubatan

    Biasanya doktor akan memberi ubat anti-obsesif seperti chlomipramine dan fluxomine bagi membantu menenangkan pesakit. Ubat-ubatan ini juga berpotensi menghapuskan fikiran obsesional pesakit. Adakalanya pesakit terpaksa mengamalkan ubat-ubatan ini dalam tempoh yang agak lama seperti dua hingga tiga tahun bergantung kepada tindak balas.

    2. Pendekatan psikologi

    Pendekatan psikologi yang merangkumi psikoterapi kognitif dan psikoterapi tingkah laku:-

    – Psikoterapi kognitif

    Pesakit akan dibantu mengatasi masalah ini melalui cadangan dan perbincangan berdasarkan pemikiran yang rasional.

    – Psikoterapi tingkah laku

    Tetapi ini lebih bercorak kepada pendedahan dan tindakan pencegahan yang berperingkat-peringkat. Bagaimanapun, sembuh atau tidak seseorang pesakit bergantung kepada:-

    – Keseriusan masalah yang dihadapi.

    – Kerjasama dan patutnya terhadap rawatan yang diberi.

    – Sokongan individu yang hampir seperti ahli keluarga, rakan-rakan atau teman.

    – Tempoh mengidap penyakit tersebut.

    Pesakit juga perlu dibantu mengatasi masalah yang mereka hadapi sama ada masalah kewangan, perkahwinan, hubungan sosial atau sebagainya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda