‘Pesakit Omicron hanya alami gejala ringan’

PRETORIA, 28 NOV – Seorang doktor Afrika Selatan yang mengeluarkan amaran mengenai Omicron berkata hari ini puluhan pesakit yang disyaki dijangkiti varian baharu itu hanya menunjukkan gejala ringan dan sembuh sepenuhnya tanpa dimasukkan ke hospital.

Angelique Coetzee, pengerusi Persatuan Perubatan Afrika Selatan, memberitahu AFP beliau telah merawat kira-kira 30 pesakit dalam tempoh 10 hari lalu yang diuji positif COVID-19 tetapi mempunyai simptom yang kurang pasti.

“Apa yang membawa mereka ke klinik adalah kelesuan melampau,” katanya, bercakap dari Pretoria. Menurutnya, ia adalah luar biasa untuk pesakit yang muda. Kebanyakan mereka adalah lelaki berusia di bawah 40 tahun. Hanya separuh di antaranya menerima vaksinasi lengkap.

Mereka juga mengalami sakit otot, sakit kerongkong dan batuk kering, katanya. Hanya beberapa orang yang mengalami demam panas.

Simptom ringan tersebut adalah berlainan dengan varian lain, yang memberikan simptom yang lebih teruk.

Coetzee memberitahu pegawai kesihatan mengenai ‘gambaran klinikal yang tidak menyerupai Delta’ – varian dominan Afrika Selatan – pada 18 November apabila beliau merawat tujuh daripada 30 pesakitnya.

“Kami bukan berkata tidak terdapatnya penyakit serius yang bakal meletus,” kata Coetzee. Namun ‘untuk sekarang, pesakit yang kami rawat yang belum menerima vaksin hanya menunjukkan gejala ringan’. – AFP