Pesakit penyakit tidak berjangkit mesti hadiri perjanjian di hospital

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 SEPT – Bagi pesakit-pesakit yang mengalami penyakit tidak berjangkit seperti masalah penyakit jantung dan kencing manis yang tidak dibatalkan perjanjian bagi perjumpaan di hospital mahupun klinik pada ketika ini, mereka dinasihatkan untuk menghadiri perjumpaan tersebut.

Walau bagaimanapun, mereka perlulah meningkatkan kewaspadaan dengan memastikan sentiasa menggunakan pelitup muka dengan betul dan menggunakan pensanitasi tangan serta lain-lainnya semasa menghadiri perjanjian berkenaan.

Perkara itu penting disebabkan penyakit tidak berjangkit merupakan penyakit yang berbahaya dan penyebab kematian yang lebih tinggi berbanding COVID-19, tegas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Menurut beliau lagi, sekiranya tahap kesihatan tidak dipantau terutama bagi mereka yang menghidap kencing manis, darah tinggi dan sebagainya ia akan memudaratkan mereka daripada COVID-19.

Oleh itu, meskipun tidak digalakkan untuk berjalan-jalan kalau tiada sebarang keperluan, menghadiri perjanjian bagi perjumpaan itu adalah suatu keperluan kecuali bagi mereka yang mempunyai rekod kesihatan yang agak baik sejak kebelakangan ini, kemungkinan perjumpaan mereka akan ditunda.

Jika hal itu terjadi, ia bukanlah menjadi masalah kerana perjanjian bagi perjumpaan mereka telah ditunda ke suatu tarikh lainnya oleh pihak hospital.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan menegaskan kepentingan bagi mereka yang menghidap penyakit tidak berjangkit untuk mematuhi perjanjian yang telah ditetapkan bagi mereka.

Jika tidak pasti, atau mempunyai sebarang keraguan dan pertanyaan mengenai perjumpaan yang ditetapkan, mereka bolehlah menghubungi tempat perjanjian mereka, tambah beliau.