Pesakit ringan COVID-19 ditempatkan di kem PKBN

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OGOS – Kem Latihan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) sedikit masa lagi akan menempatkan pesakit yang positif COVID-19 tetapi berada dalam keadaan sihat.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar berkata, mereka yang akan dipindahkan ke sana adalah bagi pesakit ringan COVID-19 pada hari kelapan dan berada dalam keadaan baik dan di sana, mereka juga akan menjalani ujian.

“Ini adalah untuk memastikan Pusat Pengasingan Kebangsaan itu hanya untuk menempatkan bagi pesakit COVID-19 yang berada dalam keadaan sederhana dan serius saja,” jelasnya pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Beliau berkata, setakat ini, lima kes telah disahkan sembuh di Pusat Pengasingan Kebangsaan yang membawa kepada jumlah yang sembuh sebanyak 327 kes dan ini bermakna terdapat 268 kes aktif direkodkan di Negara Brunei Darussalam.

Manakala itu, daripada jumlah kes tersebut, dua kes berada dalam keadaan kritikal manakala itu, dua lagi kes di bawah pemantauan rapi di Pusat Pengasingan Kebangsaan.