Tuesday, December 3, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pesakit terpaksa disorong ke bank

    SHANDONG, 6 NOV – Seorang lelaki Cina yang sedang sakit teruk terbaring di hospital terpaksa disorong keluar ke cawangan bank tempatan untuk mengesahkan identitinya sebelum pemindahan wang.

    Menurut Oddity Central, sebuah video diviralkan di media sosial China menunjukkan seorang wanita bersusah payah menolak seorang lelaki di atas katil hospital ke sebuah bank di Wilayah Shandong.

    Wanita yang juga dipercayai anak kepada pesakit berkenaan terpaksa bebuat demikian selepas diberitahu bahawa satu-satunya cara untuk mengakses akaunnya adalah untuk mengesahkan identitinya secara peribadi.

    Walaupun sudah dijelaskan kepada pengurus bank bahawa pemegang akaun itu dimasukkan ke hospital kerana masalah kesihatan yang teruk, pemegang akaun tetap perlu datang sendiri.

    Lelaki itu sangat sakit sehingga dia tidak boleh bergerak sendiri, tetapi bukti kemasukannya ke hospital gagal meyakinkan kakitangan bank.

    Bank Shandong memberitahu keluarga bahawa mereka boleh cuba datang dengan ambulans, tetapi hospital dengan jelas memberitahu bahawa ambulans hanya untuk kecemasan berkaitan kesihatan.

    Tiada cara lain selain hanya menolak pesakit dengan katil hospital sehingga ke bank memandangkan keluarga berkenaan memerlukan wang untuk membayar kos rawatan pesakit berkenaan.

    Video berkenaan mencetuskan perdebatan dalam talian yang hangat, dengan kebanyakan pengguna media sosial mendakwa bahawa bank tersebut harus membuat pengecualian berdasarkan bukti kemasukan ke hospital yang telah pun dikemukakan.

    Sebahagian penonton video yang lain mengatakan insiden berkenaan memalukan kepada masyarakat Cina bahawa kejadian seperti itu boleh berlaku mendatangkan kesan buruk. – Agensi

    Pesakit disorong keluar dari hospital menuju ke bank. – Oddity Central
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda