Pesakit tidak kebal jangkitan kali kedua

PUTRAJAYA, 26 APRIL – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedia maklum bahawa tiada bukti lagi bahawa pesakit COVID-19 yang sembuh, kebal daripada jangkitan kali kedua, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

Beliau berkata, walaupun ada respons antibodi IgM (immunoglobulin M) and IgG (immunoglobulin G) ia tidak melindungi pesakit daripada jangkitan kali kedua.

“Setakat ini kita (Malaysia) tiada kes jangkitan kedua lagi tetapi antibodi tidak berkemampuan untuk melindungi mereka.

Mereka masih perlu ambil langkah pencegahan dan jaga kebersihan untuk mengelakkan jangkitan kali kedua,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata demikian pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini, hari ini apabila ditanya pemberita mengenai kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang tiada jaminan bagi mereka yang telah pulih daripada jangkitan dan mempunyai antibodi dalam tubuh tidak akan dijangkiti kali kedua.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bercakap ketika sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, kelmarin. – Bernama

WHO juga berkata pengesanan antibodi yang bertindak terhadap SARS-CoV-2, iaitu virus yang menyebabkan COVID-19, bukan bermakna ia pasport imuniti atau sijil bebas risiko yang akan membolehkan individu untuk mengembara atau kembali bekerja atas tanggapan mereka kebal terhadap jangkitan semula.

Mengenai rakyat Malaysia di luar negara yang dikesan positif COVID-19, beliau berkata perkara itu akan dimaklumkan kepada International Health Regulatory Committee di KKM untuk direkodkan.

Rakyat Malaysia juga perlu mengikuti garis panduan yang ditetapkan di sesebuah negara sebelum negara berkenaan membenarkan mereka pulang ke tanah air.

Dr Noor Hisham sekali lagi mengulangi kenyataan bahawa tiada anggota kesihatan yang bertugas di wad COVID-19 atau merawat pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU) dijangkiti COVID-19.

Beliau berkata lebih 80 peratus daripada anggota kesihatan yang dijangkiti adalah daripada komuniti seperti majlis perkahwinan dan bukannya ketika bertugas di wad COVID-19. – Bernama