Pesalah didakwa serang rakan

ADELAIDE, 10 Jan – David Hicks, tahanan pertama yang ditahan di Pangkalan Tentera Laut AS di Teluk Guantanamo, Cuba, yang akan disabitkan dengan kesalahan oleh mahkamah tentera, muncul di mahkamah Australia hari ini didakwa dengan tuduhan menyerang rakannya.

Hicks, 41 tahun, muncul di Mahkamah Majistret Elizabeth di bandar kelahirannya, Adelaide bagi pertemuan sebelum perbicaraan atas tuduhan bahawa dia telah menyerang rakannya pada September lalu.

Dia belum membuat akuan terhadap tuduhan itu, yang boleh membawa kepada hukuman penjara dua tahun.

Dia dibebaskan dengan ikat jamin untuk muncul pada 28 Februari. Para wartawan tidak dibenarkan berada di bilik mahkamah.

Hicks, seorang mualaf telah ditangkap di Afghanistan oleh kumpulan bersekutu, Northern Alliance yang diketuai AS pada lewat 2001 sebagai askar penempur musuh yang disyaki, kemudian ditahan selama lima tahun di Teluk Guantanamo.

Dia mengaku bersalah di Mahkamah Suruhanjaya Tentera AS pada tahun 2007 memberikan bantuan bahan kepada pengganasan.

Itu adalah rundingan bagi pengakuan bersalah yang mana kesemua, melainkan sembilan bulan dari hukuman penjara tujuh tahun ke atasnya ditangguhkan dan dibenarkan pulang ke Adelaide untuk menjalani hukuman bulan-bulan terakhir.

Mahkamah Kajian Semula Suruhanjaya Tentera AS, mahkamah rayuan membatalkan penyabitan ke atasnya pada tahun 2015. Hicks berkata dia hanya mengaku bersalah untuk keluar dari Teluk Guantanamo.

Hicks telah pergi ke Pakistan pada tahun 2000 dan menyertai kumpulan militan Lashkar-e-Taiba dan menyertai serangan ke atas pasukan India, menurut rekod mahkamah.

Dia kemudian pergi ke Afghanistan dan menghadirkan diri di kem latihan yang dijalankan oleh Al-Qaeda dan dikunjungi oleh ketuanya, Osama Laden. Satu-satunya pengalaman pertempuran sebenar Hicks ialah membantu mengawal kereta kebal Taliban berhampiran lapangan terbang Kandahar. – AP