Pesambah gerbang sebagai tanda junjung kasih

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JULAI – Sebagai tanda menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Kejiranan Al Barakah 50 di Rancangan Perumahan Negara (RPN) Meragang telah membina gerbang sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-74.

Kejiranan berkenaan sememangnya sudah begitu sinonim dengan gerbang hari-hari kebesaran negara terutamanya semasa sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia sejak mula menduduki RPN berkenaan.

Salah seorang ahli kejiranan berkenaan, Awang Muhammad Faiz Hafizuddin berkata, gerbang Hari Keputeraan yang dibina di perkarangan rumah beliau itu adalah sebagai tanda junjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia atas pengurniaan rumah kepada rakyat
yang dapat menjalinkan persekitaran kejiranan dalam ukhuwah dan mahabbah.

Sebagai seorang raja yang menjadi contoh tauladan kepada rakyat Baginda, sewajarnyalah seluruh rakyat akan tetap meraikan dalam maksud rasa kesyukuran dan junjung kasih kehadapan majlis Baginda Sultan dan akan tetap setia terus mendukung segala hasrat dan perancangan kerajaan Baginda ke arah Wawasan Brunei 2035 seiring kemajuan dunia dalam bidang ICT dan Revolusi Industri 4.0.

Gerbang yang dibina oleh Kejiranan Al Barakah 50 di RPN Meragang sempena Ulang Tahun Hari Kebangsaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darusssalam ke-74.