Saturday, August 20, 2022
23.2 C
Brunei

Pesambah istimewa zahir kesyukuran

-

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JULAI – Majlis Perundingan Kampung (MPK) dan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Mentiri Kawasan II, kelmarin, telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-76.

Majlis berkenaan merupakan ‘pesambah istimewa’ untuk menzahirkan kesyukuran dan bagi memohon doa ke hadrat Allah SWT semoga Baginda Sultan dilanjutkan usia dan sihat walafiat serta kekal karar memerintah Negara Brunei Darussalam dengan hidayah dan petunjuk Allah SWT.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya memimpin bacaan Surah Al-Fatihah ialah Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim yang juga menyertai bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai.

Bacaan khatam Al-Quran dimulakan dari Surah Ad-Duha hingga An-Nas dan diikuti dengan bacaan takhtim dan Doa Khatam.

Tetamu kehormat kemudian menyampaikan sijil kepada para peserta khatam dan ahli-ahli jawatankuasa majlis.

Majlis diselajurkan dengan meraikan jemaah-jemaah haji di kawasan RPN I dan II yang baru pulang dari tanah suci selepas menunaikan fardu haji.

Majlis merupakan salah satu usaha bagi merapatkan lagi hubungan persaudaraan, meningkatkan keharmonian dan mengekalkan kerjasama serta memupuk perpaduan penduduk kampung.

Awang Misle menabur bunga rampai kepada jemaah haji yang turut diraikan pada majlis berkenaan.
Para peserta khatam yang diraikan pada majlis tersebut.

- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

Yangtze susut, kemarau teruk landa China

CHONGQING, 19 OGOS – Sungai terbesar China, Yangtze menyusut teruk hari ini akibat kemarau musim panas terburuk di China dalam masa enam dekad sehingga...
- Advertisment -