KUANTAN, 22 MEI – Malang berganda buat seorang pesara guru wanita selepas terpedaya dengan sindiket Love Scam yang akhirnya menyebabkan dirinya terjebak dalam penipuan pinjaman wang tidak wujud sehingga mendakwa dirinya kerugian RM472,941.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang DSP Yap Huat Tian berkata mangsa yang berusia 65 tahun mendakwa dirinya telah berurusan dengan tiga syarikat pemberi pinjaman wang yang diketahuinya di internet sejak Februari lepas kerana berhasrat membuat pinjaman sebanyak RM2.5 juta.
“Mangsa mendakwa wang itu bagi membantu rakan lelakinya, seorang warga Amerika Syarikat yang sedang berhadapan masalah perniagaan menyebabkan lelaki itu tidak mempunyai wang untuk membayar gaji pekerja dan cukai perniagaan.
“Lelaki itu didakwa meminta bantuan mangsa dengan janji akan memulangkan kembali wang itu selepas berjaya mencairkan aset milik bapanya,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Mangsa seterusnya mendakwa dirinya telah dihubungi oleh individu mendakwa mereka sebagai ejen syarikat pemberi pinjaman wang tersebut yang memintanya untuk memasukkan sejumlah wang ke akaun diberikan atas pelbagai alasan termasuk bagi mengaktifkan akaun itu sebelum wang pinjaman dapat dipindahkan.
Mungkin didorong oleh perasaan kasihan kepada rakan lelakinya, mangsa membuat 49 transaksi pemindahan wang ke akaun diarahkan oleh suspek terlibat sebelum menyedari dia ditipu kerana pinjamannya masih belum diluluskan walaupun wang simpanannya habis dipindahkan seperti arahan suspek. – Bernama