SIBU, 26 Sept – Seorang penjawat awam yang baru sahaja bersara bulan lalu maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Paradom-Bintangor, Sibu melibatkan sebuah kereta dan lori tangki minyak, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, mangsa dikenali sebagai Muhamad Seman, 60, dari Bandar Baru Sibu Jaya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak ambulans yang tiba di lokasi.
“Kemalangan berlaku pada 5:20 petang, apabila kereta mangsa jenis Perodua Kancil yang bergerak dari arah Sarikei ke Sibu terbabas sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan lori itu yang bergerak dari Sibu ke Sarikei semasa cuaca hujan,” katanya.
Pemandu lori tangki minyak itu yang berusia 32 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes itu akan disiasat. – Bernama