Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Pesara sertai maraton untuk kumpul dana

    MALAYSIA – Dia hampir berputus asa pada tahap 15 kilometer (km), namun demi memikirkan pelajarnya, mendorong dia untuk bertahan.

    Akhirnya, pelumba berusia 68 tahun itu menamatkan perlumbaan sejauh 21km dalam masa tiga jam sahaja, melayakkannya untuk mendapatkan pingat penamat, yang diberikan kepada mereka yang menamatkan perlumbaan dalam masa tiga jam dan 30 minit.

    Pelari maraton berpengalaman itu sebelum ini menyertai enam perlumbaan lain sebelum mengambil bahagian dalam KL Standard Chartered International Marathon 2022 pada 13 November lalu, tetapi tidak beraksi sejak beberapa tahun lalu.

    “Tetapi saya yakin bahawa saya masih mampu melayakkan diri untuk mendapatkan pingat penamat,” kata Soo.

    Larian peribadi tebaiknya ialah 2 jam 37 minit. Dia pernah berjaya mencecah 10km dalam masa satu jam tujuh minit sahaja. Tetapi ia bukanlah satu pencapaian yang mudah dan jarak sejauh 15km terbukti amat mencabar.

    Soo bersama pelari lain di garisan permulaan bagi acara KL Standard Chartered International Marathon 2022 baru-baru ini. – ANN/The Star
    Soo dengan pingatnya di acara KL Standard Chartered International Marathon 2022 baru-baru ini. – ANN/The Star

    “Ketika peluh mengalir di dahi saya dan bercampur dengan air mata, membayangkan wajah pelajar, saya terus berjalan.

    “Saya benar-benar berazam untuk melepasi garisan penamat walaupun saya terpaksa tempang melintasinya! Saya sama sekali tidak mahu diangkut balik dengan kereta bantuan!” kongsi pesara dari Johor itu.

    Menamatkan perlumbaan, bagaimanapun, adalah sebahagian daripada gambaran yang lebih besar untuk mengumpul dana bagi pusat komuniti yang diasaskannya.

    Soo memulakan Perkhidmatan Komuniti Sempurna pada 2009 untuk menyediakan tuisyen Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia percuma untuk pelajar miskin di Kluang, Johor.

    Sebagai seorang kaunselor berlesen dan berdaftar, beliau turut menyediakan kaunseling percuma untuk pelajar berisiko, yang biasanya daripada keluarga yang berpecah belah, kerana merasakan mereka lebih berkemungkinan tercicir dari sekolah.

    “Seperti kebanyakan NGO dan perusahaan sosial lain, kami juga bergelut untuk bertahan beberapa tahun lalu.

    “Oleh itu, pusat itu belum beroperasi sepenuhnya kerana dana yang terhad,” kongsi Soo.

    Dalam usaha mengumpul sekurang-kurangnya RM21,000 untuk kos operasi pusat komuniti itu bagi 2023, Soo memutuskan untuk mengambil bahagian dalam maraton itu. Sebelum larian itu, beliau telah berjaya mengumpul RM3,000 daripada penyokong dan penderma. Tetapi dia berharap lebih ramai penyokong akan menderma setelah dia menamatkan larian.

    “Pada kemuncaknya, kami mempunyai lima guru dan hampir 300 murid menghadiri tuisyen mingguan percuma di pusat komuniti,” kata Soo, sambil menambah dengan lebih banyak dana, dia akan dapat membayar guru tahun depan.

    Soo berkata memandangkan gangguan terhadap pendidikan pelajar baru-baru ini akibat COVID, kemungkinan terdapat permintaan yang lebih besar untuk tuisyen pada masa hadapan. Pelajar berisiko juga cenderung untuk berhenti sekolah.

    “Walaupun terdapat pelajaran dalam talian, ramai pelajar tidak dapat mengakses kerana mereka menghadapi cabaran seperti kekurangan peranti digital atau ketiadaan liputan Internet. Malah ada pelajar yang tercicir sama sekali,” katanya.

    Soo, yang sentiasa menjadi perserta separa maraton, juga berharap dapat menamatkan maraton penuh sebelum usia 70 tahun.

    “Saya gembira kerana saya dapat menggabungkan minat saya untuk berlari dengan kerja sosial.” – ANN/The Star

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...