Oleh Yusrin Junaidi
TUTONG, 19 NOV – Para mualaf di Daerah Tutong tidak lama lagi akan memiliki dewan serba guna yang dilengkapi dengan kemudahan seperti bilik sembahyang, tandas dan tempat berwuduk lelaki dan perempuan, tandas orang berkeperluan khas, bilik stor dan tempat letak kereta.
Sehubungan dengan itu, Majlis Peletakan Batu Asas Dewan Serba guna Persatuan Saudara-saudara Baharu Daerah Tutong telah dirasmikan kelmarin oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku tetamu kehormat.

Majlis yang dikendalikan oleh Pusat Dakwah Islamiah (PDI) melalui Bahagian Pembangunan Mualaf (Kebajikan Mualaf) dengan kerjasama Unit Dakwah Tutong itu berlangsung di tapak Dewan Serba guna Persatuan Saudara-Saudara Baharu (PESATU).
Kerja-kerja pembinaan Dewan Serbaguna PESATU telah bermula pada 6 Julai 2023 dan dijangka siap pada 5 Julai 2024 melalui peruntukan Kumpulan Wang Pentadbiran Am Majlis Ugama Islam Brunei.
PESATU ditubuhkan pada 5 Disember 1982 yang mana persatuan dan perlembagaannya telah diiktiraf oleh pihak Pendaftar Undang-undang Negara Brunei Darussalam pada 1 Januari 1983 dan telah diletakkan di bawah naungan PDI setelah ditubuhkan pada tahun 1985.
PESATU merupakan agensi bagi membimbing saudara-saudara baharu ke arah kejayaan hidup dunia dan akhirat. Di samping itu, penubuhan PESATU juga adalah untuk memperbaiki serta meningkatkan lagi taraf hidup ahli-ahlinya dalam bidang ekonomi dan memberikan kerjasama dengan pihak PDI dalam usaha menyebarkan dakwah Islam di negara ini.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah, laungan azan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Tutong, Awang Saipol bin Ismail.
Ia kemudian diteruskan dengan bacaan zikir yang dipimpin oleh pegawai dan kakitangan PDI dan diikuti dengan bacaan doa oleh imam jemputan.
Majlis diakhiri dengan lawatan dan tinjauan ke pameran lukisan reka bentuk Dewan Serba guna PESATU.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keagamaan), Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh.