Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Pesawat bawa 132 penumpang terhempas

    BEIJING, 21 MAC – Sebuah jet penumpang China Eastern yang membawa 132 orang terhempas ke sebuah gunung di selatan China pada Isnin mencetuskan kebakaran besar, sejurus selepas putus hubungan dengan kawalan trafik udara dan jatuh ribuan meter dalam masa tiga minit.

    Pesawat Boeing 737-800 dari bandar Kunming menuju ke hab selatan Guangzhou ‘hilang dari radar di kawasan Wuzhou’ di rantau Guangxi pada petang ini, menurut Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC).

    Jet itu membawa 123 penumpang dan sembilan anggota kru, menurut pihak berkuasa penerbangan.

    Bencana itu mencetuskan reaksi balas segera daripada Presiden Xi Jinping, yang berkata dia ‘terkejut’ dan mengarahkan siasatan segera untuk mencari puncanya.

    China Eastern mengesahkan adanya kematian dalam kemalangan itu, tanpa memberi butiran lanjut mengenai jumlah mereka yang terkorban atau memberi butiran mengenai sebarang mangsa terselamat.

    Kakitangan memegang sepanduk untuk membantu saudara penumpang pesawat China Eastern MU5375 selepas ia gagal tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Guangzhou Baiyun di wilayah Guangdong, selatan China pada 21 Mac. – AFP

    “Syarikat itu menyatakan rasa takziahnya bagi penumpang dan anggota kru yang terkorban dalam nahas pesawat itu,” kata pesawat udara itu dalam satu kenyataan.

    Punca kemalangan ‘masih lagi disiasat’, tambahnya.

    Ratusan anggota bomba telah dihantar ke tempat kejadian di daerah Teng dekat bandar Wuzhou, lapor media kerajaan, ketika penduduk kampung bergegas untuk membantu operasi menyelamat.

    “Semua orang pergi ke pergunungan itu,” Tang Min, yang menjalankan restoran kecil beberapa kilometer jauhnya dari tapak nahas, memberitahu AFP menerusi telefon.

    Kebimbangan dengan nasib jet itu semakin luas petang ini ketika media tempatan melaporkan pesawat China Eastern MU5735 belum tiba seperti dirancang di Guangzhou sejurus berlepas dari Kunming jam 1 petang.

    Laman web penjejakan pesawat, FlightRadar24 menunjukkan tidak ada data bagi penerbangan itu selepas jam 2:22 petang.

    Penjejak itu menunjukkan pesawat itu jatuh dari altitud 29,100 kaki kepada 3,225 kaki dalam masa tiga minit, selepas tidak ada lagi maklumat penerbangan.

    Penyiaran kerajaan CCTV berkata kemalangan itu ‘menyebabkan gunung terbakar’ yang kemudian dipadamkan.

    Seorang penduduk memberitahu laman berita tempatan pesawat itu ‘jatuh berderai’ dan dia melihat kawasan hutan musnah akibat kebakaran ia sebabkan semasa terhempas ke tepi gunung.

    China Eastern menukar laman webnya kepada hitam dan putih pada petang ini dan membuka talian hubungan kecemasan. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...