Pesawat Chile bawa 38 tentera hilang

SANTIAGO, 10 DIS – Sebuah pesawat tentera Chile dengan 38 orang telah hilang selepas berlepas dari kawasan selatan negara ke sebuah pangkalan di Antartika dan diandaikan telah terhempas, kata pihak berkuasa.

Tujuh belas di antara mereka yang menaiki pesawat udara C-130 terdiri daripada kru dan yang lain penumpang, kata Tentera Udara Chile hari ini.

Kapal terbang itu dianggap telah terhempas dan “semua pekerja penerbangan dan laut negara dan antarabangsa di kawasan itu sedang meneruskan usaha mencari mangsa di mana perhubungan terputus dengan pesawat udara,” tambahnya dalam satu kenyataan hari ini.

Pesawat udara empat enjin itu berlepas semalam pada pukul 4:55 petang dari pangkalan udara di Punta Arenas di kawasan selatan Chile dan komunikasi terputus pada pukul 6:13 petang – kurang sejam selepas ia berlepas.

Mereka yang menaiki pesawat itu dikatakan sedang menjalankan tugas sokongan logistik di pangkalan Eduardo Frei Antartik Chile, yang terbesar di negara, kata Tentera Udara.

Kakitangan juga sedang dipindahkan untuk memeriksa talian paip bekalan minyak terapung di pangkalan dan menjalankan rawatan antihakisan di pusat berkenaan.

Kapal terbang itu mempunyai sistem kedudukan satelit, namun ia nampaknya tidak berfungsi ketika misi mencari pada awal pagi, kata Eduardo Mosqueira, Komander Briged Tentera Udara Keempat. – AFP